March 9, 2016

Rayu bantuan untuk rawatan isteri

Keadaan wajah Siti Rokiah dari Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, selepas pembedahan akibat penyakit kanser mulut yang dihidapinya.

TANAH MERAH - Suami seorang pesakit barah mulut di Kampung Lelalang Pepuyu, dekat sini, merayu bantuan orang ramai dan agensi kerajaan berkenaan bagi meringankan beban kewangan untuk kos rawatan susulan isterinya.

Ab Ghani Omar, 66, berkata, isterinya, Siti Rokiah Daud, 62, dikesan menghidap penyakit itu pada April tahun lalu sebelum menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, empat bulan kemudian.

Menurutnya, akibat penyakit bermula dengan bengkak mulut yang semakin hari semakin membesar itu, tulang geraham dan pipi kiri isterinya terpaksa dibuang dalam pembedahan tersebut.

“Mula-mula isteri saya bengkak mulut dan makin hari makin bengkak. Bila buat pemeriksaan di hospital, dia disahkan ada kanser mulut. Kanser ini katanya bermula dari dalam sebelum merebak ke mulut.

“Masa nak bedah pada Ogos tahun lalu, kanser mulut dia berukuran empat sentimeter. Sekarang nampak bahagian ditampal ada masalah sikit dan kanser pun tak pulih sepenuhnya lagi, jadi terpaksa ulang alik ke hospital,” katanya, semalam.

Ab Ghani memberitahu, walaupun isterinya dapat menguruskan diri sendiri seperti untuk ke bilik air, pergerakannya masih perlu diawasi kerana bimbang boleh jatuh memandangkan badannya masih lemah.

“Dia boleh bergerak sendiri dan makan macam biasa walaupun nasi sekarang kena masak lembik dan kena ada susu untuk makanan tambahan, tapi saya tak boleh tinggalkan dia seorang diri di rumah.

“Sekarang ada anak perempuan tinggal bersama sebab baru bersalin. Anak yang lain semua kerja jauh termasuk di Johor. Mahu tak mahu, banyak hari saya kena jaga dia dan ponteng menoreh,” katanya.

Dia yang ada 13 anak berkata, keadaan itu menyebabkan beban sara hidup ditanggung sebelum ini semakin bertambah apabila dia terpaksa kerap ‘ponteng’ menoreh dan lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

“Dengan harga getah murah dan hari menoreh pula kurang, saya dapat sekitar RM120 kalau dapat menoreh 10 hari. Nak harapkan anak pun tak boleh sangat sebab mereka bukan orang senang dan sudah ada keluarga sendiri,” kata Ab Ghani.

Tambahnya, belanja bulanan akan bertambah sehingga RM500 sebulan terutama untuk menampung kos pengangkutan pergi balik ke hospital jika isterinya ada temu janji dengan doktor pada bulan tersebut.

Katanya, pihak hospital turut membantu meringankan beban mereka apabila pernah membenarkan isterinya ditempatkan sebulan di wad bagi mengurangkan kos pengangkutan untuk rawatan susulan sebelum ini.

“Bila habis masa, saya selalunya akan rayu sambung lagi duduk dalam wad. Kalau tak ada temu janji dengan doktor, ada pula kos tambahan beli susu formula dan alatan untuk cuci bahagian luka.

“Saya tak pernah minta bantuan dari mana-mana agensi kerajaan. Saya orang tua dan duduk pula di kampung, tak tahu cara minta bantuan,” kata Ab Ghani.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1418229832253642 atas nama Ab Ghani Omar atau menghubunginya di 019-926 9971.

Sinar Harian 8 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment