March 16, 2016

Puntung rokok punca kebun terbakar

Anggota bomba memadam kebakaran lalang di sebuah kebun di Parit 8 Sungai Leman, Sekinchan.

SEKINCHAN - Tindakan pantas anggota bomba mengawal dan memadam kebakaran lalang di sebuah kebun di Parit 8 Sungai Leman, Sekinchan di sini, berjaya menyelamatkan dua rumah berhampiran daripada terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, panggilan berhubung kejadian diterima daripada orang awam kira-kira jam 2.18 petang.

"Sebuah jentera diketuai Mohd Fadzli Mustafa bersama lima anggota ditugaskan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.

"Kita ambil masa kira-kira empat minit untuk tiba di lokasi kejadian dan mendapati kebun seluas 0.2 hektar terbakar dengan api marak disertai angin kuat," katanya.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira 45 minit bagi memadam kebakaran lalang di kebun berkenaan.

"Kita juga berjaya mengawal api daripada mereka ke dua rumah penduduk yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awam, punca kebakaran dipercayai daripada puntung rokok dan kebun berkenaan sedang dalam pembersihan," katanya.

Dalam pada itu, orang awam dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka berikutan faktor cuaca panas pada masa ini.

Sinar Harian 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment