March 16, 2016

Pulanglah dik...

NURUL Athirah

Kuantan: “Jika dia membaca berita ini, saya harap dia segera pulang kerana tiga adiknya sering demam akibat terlalu rindukannya,” kata Nur Anisah Ismail, 43, ibu kepada Nurul Athirah Norhisyam, 15, gadis yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Tanah Putih, Pekan, sejak 26 Februari lalu.

Difahamkan, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Pekan itu kali terakhir dilihat di rumahnya kira-kira jam 3 petang pada hari berkenaan sebelum dilaporkan ‘ghaib’ tanpa sebarang khabar berita sehingga kini.

Nur Anisah berkata, pada hari kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja di kantin sebuah kilang di Pekan dan hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas pulang dari tempat kerja.

“Abangnya memaklumkan kepada saya pada petang Jumaat itu dia melihat Nurul Athirah membonceng motosikal berwarna merah bersama seorang rakan.

“Selepas itu, Nurul Athirah tidak pulang ke rumah sehingga hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Wanita lapan anak itu berkata, laporan mengenai kehilangan anak kelima daripada lapan beradik itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan keesokannya (Sabtu) memandangkan Nurul Athirah tidak pulang ke rumah.

Katanya, akibat kejadian itu tiga adik Nurul Athirah iaitu Nur Izati, 13; Nur Afira, 11 dan Mohd Amirul, 7, sering demam kerana terlalu rindukan kakak mereka.

“Mereka bertiga amat rapat dengan Nurul Athirah dan kehilangannya amat dirasai tiga beradik itu.

“Paling terkesan adalah Mohd Amirul, saya harap jika Nurul Athirah membaca berita ini dia segera pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, dia tidak mengetahui punca sebenar kehilangan Nurul Athirah kerana mereka tidak pernah bersengketa hingga memaksa gadis itu bertindak melarikan diri atau sebaliknya.

“Saya tidak tahu punca dia melarikan diri atau sebaliknya, tidak ada sengketa besar antara kami.

“Jika ada pun biasa-biasa saja, keluarga mana yang tidak ada masalah, merajuk sikit-sikit itu biasalah,” katanya.

Menurutnya, dia berharap kepada sesiapa yang tahu atau mempunyai maklumat di mana Nurul Athirah berada supaya menghubunginya di talian 019-9993923.

“Pulanglah, kami sekeluarga amat rindukan Nurul terutama adik-adik,” katanya.

myMetro 16 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment