March 22, 2016

Pukul ayah, ugut ibu kerana tidak dapat duit

KUALA TERENGGANU - Seorang anak layak digelar ‘si tanggang’ apabila tergamak memukul bapanya sehingga mengalami kecederaan gara-gara enggan menyerahkan sejumlah wang, dalam kejadian di Kampung Wakaf Che Kapor, di sini, Khamis lalu.

Lebih kejam, lelaki berusia 30 tahun itu turut melemparkan kata-kata kesat yang berbaur ugutan bukan sahaja ditujukan kepada mangsa, 59, malah ibunya jua menjadi mangsa keadaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, pasangan suami isteri itu sedang berehat di rumah sebelum dikejutkan dengan kepulangan anak lelaki mereka dalam keadaan marah-marah sambil meminta sejumlah wang.

Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai buruh bagaimanapun tidak mengendahkan permintaan terbabit kerana sudah mengetahui tujuan suspek meminta wang adalah untuk membeli bekalan dadah.

“Bengang mangsa tidak melayan kehendaknya, suspek mula mengamuk seperti ‘kanak-kanak’ sebelum tergamak memukul kaki kanan orang tua malang itu sehingga mengalami kecederaan.

“Tidak cukup dengan itu, suspek mula memaki hamun kedua orang tuanya menggunakan kata-kata kesat termasuklah mengugut mereka dengan berkata “aku bunuh mu setan” dengan harapan kedua-duanya takut dan akan menyerahkan wang yang diminta,” katanya.

Sumber berkata, suspek yang merupakan seorang penagih dadah tegar dan pernah ditangkap kerana kesalahan dadah sebelum ini sering kali mengamuk dengan orang tuanya setiap kali permintaan mendapatkan wang tidak ditunaikan.

“Selain itu, mangsa mendakwa turut dilayan seperti ‘binatang’ setiap hari, lebih-lebih lagi apabila memerlukan duit untuk membeli bekalan dadah.

“Disebabkan tidak tahan melayan karenah suspek, selain bimbang akan keselamatan diri dan keluarga, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis sejurus suspek meninggalkan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Ab Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Sinar Harian 21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment