March 8, 2016

Polis cedera dipukul di sekatan jalan

Ipoh: Koperal polis bengkak muka sebelah kanan selepas dipukul dengan topi keledar oleh lelaki dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa yang sedang bertugas menjalankan SJR ternampak motosikal membuat pusingan U dipercayai yang cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berusia 27 tahun yang menaiki motosikal itu bersama seorang remaja perempuan dipercayai menunggang secara berbahaya dengan melawan arus.

Menurutnya, anggota terbabit kemudiannya cuba menahan suspek dengan memegang motosikalnya namun suspek bertindak memukul tangan mangsa sebelum melompat dari motosikal dan memukul mangsa menggunakan topi keledar serta menendang mangsa beberapa kali.

"Suspek juga dipercayai turut menengking mangsa dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum suspek dan remaja berusia 16 tahun ditahan dengan bantuan rakan setugas.

"Mangsa mengalami bengkak muka sebelah kanan manakala suspek luka dibahagian kaki dan tangan berpunca terjun dari motosikal,"katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 322 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955.

myMetro 8 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment