March 3, 2016

Perempuan acu pistol

Kota Bharu: “Mu duk diam kalu tak, aku tembak (Kamu duduk diam, jika tidak aku tembak).” Itu yang dikatakan seorang wanita kepada seorang peniaga sambil mengacukan pistol, dalam kejadian samun di sebuah kedai makan di Pasir Tumbuh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, mangsa dikenali Kak Na, 52, mengalami kerugian RM6,500 apabila barang kemas dan telefon bimbitnya dilarikan wanita itu.

Menurut Kak Na, sebelum kejadian dia duduk berehat di meja belakang dekat kaunter pembayaran selepas pelanggannya selesai menjamu selera.

“Selepas itu datang seorang perempuan berusia 20-an yang menaiki kereta Proton Wira dan bertanyakan pembantu kedai wanita saya mengenai nasi. Dia kemudian memesan dua bungkus air Milo ais.

“Pembantu kedai membungkus dua nasi putih dan kemudian masuk ke dapur untuk menyediakan minuman.

“Dalam masa sama, perempuan itu meluru ke kereta yang diletak di depan kedai dan datang semula bersama dua lelaki yang keluar dari kereta itu.

“Dia mengarahkan saya diam sekiranya tidak mahu ditembak sambil merentap gelang tangan emas yang saya pakai,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika itu, pembantu kedainya yang berada di dapur keluar ke kaunter untuk melihat apa yang berlaku dan turut diarahkan berdiam diri dengan ugutan sama.

Katanya, lima minit kemudian, ketiga-tiga suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Wira dan turut mengambil semua pesanan.

“Kebiasaan pada waktu itu anak lelaki dan perempuan saya akan bergilir-gilir berada di kedai bagi membantu saya, tetapi semalam mereka balik awal kira-kira jam 1 pagi dan tinggal saya bersama pembantu kedai.

“Tak sangka kejadian ini berlaku, pertama kali dalam hidup saya. Malah, saya seperti mengenali seorang daripada tiga individu itu kerana pernah menjadi pelanggan saya ketika kedai ini masih beroperasi di Kampung Guntong, di sini,” katanya yang berpindah ke sini pada Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, sepanjang berniaga sejak beberapa tahun lalu, itu adalah kejadian pertama menimpanya namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, berhubung kes itu pihaknya sedang mengesan suspek terbabit dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

myMetro 2 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment