March 9, 2016

Percutian jadi mimpi ngeri


Kamal menunjukkan parut yang diterimanya akibat serangan itu.

JOHOR BAHRU - Seorang inspektor industri minyak menerima tujuh jahitan di kepala dan kesan lebam di seluruh badan selepas mendakwa dipukul dua lelaki dalam satu kejadian samun, di kediaman ibunya yang terletak di Kampung Baru Seri Aman, di sini, semalam.

Mangsa, Kamal Abdul Wahid, 42, berkata, kejadian yang dipercayai bermula jam 3 pagi itu berlaku dengan sekelip mata malah turut mengancam nyawa isteri dan dua orang anaknya yang ketika itu tidur bersama di biliknya.

Dia juga mendakwa, hanya menyedari kediaman mereka dicerobohi selepas dipukul bertubi-tubi sehingga hampir pengsan kerana mengalami pendarahan yang banyak.

“Sebelum kejadian saya bersama anak perempuan yang berumur dua tahun tidur di bawah manakala isteri pula tidur di atas katil bersama anak bongsu yang berusia dua bulan.

“Saya mula menyedari kehadiran mereka selepas berasa sakit di bahagian kepala dan badan kerana dipukul semasa sedang tidur. Saya yang dalam keadaan mamai ketika itu hanya mampu mendengar anak perempuan saya menangis dan tidak mampu untuk melawan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kamal berkata, isterinya turut cedera di bahagian paha kiri akibat dipukul dengan objek yang keras kerana cuba untuk mempertahankan diri dan anak-anaknya.

“Selepas mereka selesai mengambil barang dan wang di bilik saya, mereka terus meluru ke bilik adik perempuan saya yang ketika itu sedang tidur bersama ibu saya yang berusia 66 tahun.

“Tetapi nasib baik mereka tidak diapa-apakan dan hanya trauma sahaja selepas diugut dan hampir dipukul oleh perompak tersebut,” katanya.

Mangsa turut memberitahu, dia dan keluarga sedang menetap di Banting Selangor dan pulang ke rumah ibunya sejak Khamis lalu, kerana kontraknya bersama sebuah syarikat telah tamat dan ingin bercuti di kampung sambil mencari pekerjaan yang baru di sini.

Tetapi percutiannya menjadi mimpi ngeri apabila mengalami kerugian yang besar membabitkan tiga jenis telefon bimbit, dua gelang emas bernilai kira-kira RM5,000 dan wang tunai berjumlah RM1,000.

Selain itu, kejadian berkenaan turut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka di dahi kiri dan menerima tujuh jahitan, termasuk kesan lebam dan calar pada tangan serta kaki kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad mengesahkan kejadian terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.

Sinar Harian 7 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment