March 18, 2016

Penuntut UMT dikhuatiri lemas

Isa Bahri Ishak, 21, dari Kampung Sri Terbang Tambahan 1, Chenor, Perak, masih hilang. - Foto Zaid Salim

Kuala Nerus: Penuntut tahun satu Pengurusan Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi bersama rakan di Pantai Tok Jembal, di sini, jam 6.45 petang tadi.

Isa Bahri Ishak, 21, dari Kampung Sri Terbang Tambahan 1, Chenor, Perak, dikatakan ke pantai itu yang terletak di belakang universiti berkenaan bersama beberapa rakan untuk mandi.

Difahamkan, mangsa dan seorang rakan dikenali sebagai Mohd Nazri Mohamed, 21, dari Kampung Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan dikatakan hampir lemas namun Mohd Nazri berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di pantai berkenaan namun Isa hilang.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1) AzmiSalleh berkata, seramai 13 anggota termasuk empat dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Kuala Nerus dan tiga anggota pasukan rawatan awal (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Usaha mencari mangsa dihentikan jam 7 petang tadi dan akan disambung pada jam 7 pagi esok.

myMetro 17 Mac 2016



Penuntut UMT ditemui lemas

FOTO Zaid Salim

Kuala Nerus: Penuntut tahun satu jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang hilang di Pantai Tok Jembal, di sini, petang semalam, ditemui tidak bernyawa oleh orang awam kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, petang ini.

Komander Operasi Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) negeri, Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, mayat Isabassri Ishak, 21, ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air kira-kira 20 meter dari pesisir pantai pada jam 2.30 petang tadi.

"Mayat dibawa naik ke darat menggunakan bot bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Keluarga mangsa yang tiba dari Chenor, Perak ketika ditemui enggan mengulas lanjut berikutan penemuan mayat berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik tiba pada tengahari tadi, keluarga mangsa sempat melakukan solat hajat dan azan di tempat kejadian.

myMetro 17 Mac 2016


Laungan azan 'panggil' jasad

PASUKAN penyelamat mengusung mayat mangsa.

Kuala Nerus: Ibu kepada mangsa lemas Isabassri Ishak, 21, Normar Lekoon, 55, hanya mampu menitiskan air mata kesyukuran apabila mayat anaknya ditemui selepas sejam melakukan solat hajat dan laungan azan sebaik tiba di tempat kejadian di Pantai Tok Jembal di sini, semalam.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa dan permintaan kami supaya mayat anak segera ditemui. Syukur selepas hampir sejam menunaikan solat hajat, mayat arwah ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat dia dikatakan mandi pada jam 2.30 petang semalam (kelmarin).

“Walaupun sedih menerima dugaan ini, namun kami reda kerana apa yang berlaku ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Normar berkata, dia bersama abangnya, Mat Latib, 60, dan ipar, Hendun Saidin, 57, serta anak saudaranya, Ammar Al-Hafiz, 26, bertolak dari rumahnya di Kampung Sri Terbang C Tambahan 1, Chenor, Perak, kira-kira jam 1 pagi sebelum tiba di pantai berkenaan pada jam 1.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, sebaik tiba, dia bersama abang dan anak saudaranya terus menunaikan solat hajat dan melaungkan azan di kawasan pantai berkenaan.

Katanya, dia dan suami, Ishak Ngah Mohd Ali, 57, menaruh harapan tinggi terhadap arwah kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga yang terdiri daripada lima beradik berusia 17 hingga 23 tahun.

“Arwah anak ketiga dan seorang yang baik serta mengambil berat terhadap keluarga. Memang kami menaruh harapan tinggi, tetapi apakan daya Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.45 petang kelmarin, pelajar tahun satu Pengurusan Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dikatakan lemas bersama rakannya, Mohd Nazri Mohamed, 21, ketika mandi di Pantai Tok Jembal, di sini.

Bagaimanapun, Mohd Nazri, pelajar jurusan sama dari Kampung Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian manakala Isabassri hilang dihanyutkan arus.

Menurut Normar, kali terakhir dia menghubungi arwah pada 3 Mac lalu kerana mahu mengucapkan selamat hari jadinya yang ke-21.

“Bagaimanapun, selepas itu, arwah kerap menghubunginya bertanya khabar hal keluarga, apatah lagi ketika ini keadaan bapanya yang bekerja di sebuah kilang di Ipoh, Perak agak kurang sihat.

“Banyak perbualan kami hanya berkisar mengenai keluarga dan pelajarannya dan tidak ada perkara pelik yang dibualkan arwah,” katanya.

Katanya, jenazah anaknya dibawa pulang ke kampung selepas selesai dibedah siasat jam 6 petang semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chenor, pagi ini.

myMetro 18 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment