March 4, 2016

Penuntut maut motosikal bertembung lori

Shah Alam: Penuntut wanita UiTM Puncak Alam meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan lori di lampu isyarat simpang tiga Persiaran Budiman, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, mangsa Najwa Najmi Gurcharan, 25, yang juga anak kepada anggota polis trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang dipercayai dalam perjalanan ke Shah Alam sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah kanan Persiaran Budiman.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera di kepala.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Polis minta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan. Pemandu lori berkenaan ditahan untuk siasatan," katanya.

Shafien berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

myMetro 3 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment