March 16, 2016

Peniaga cedera dirempuh motor

KEADAAN mangsa yang cedera dirempuh di Jalan Batu Caves berhampiran stesen minyak Greenwood.

Gombak: Seorang peniaga sate cedera selepas dirempuh sebuah motosikal di Jalan Batu Caves berhampiran stesen minyak Greenwood, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa seorang warga Indonesia dikenali sebagai Siti, 40, dalam perjalanan ke gerainya selepas membeli barang keperluan berniaga.

Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Ruslan Lokk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.04 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Anggota menerima panggilan kecemasan dari anak perempuan mangsa yang berada di lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, mangsa dalam keadaan terbaring,” katanya.

Menurutnya, anak perempuan mangsa mendakwa ibunya dilanggar ketika melintas jalan di hadapan stesen minyak berkenaan.

“Semasa kejadian, ada sebuah kenderaan berhenti bagi memberi laluan kepada mangsa, namun secara mengejut sebuah motosikal merempuh mangsa.

“Mangsa tercampak dan terjatuh manakala penunggang motosikal itu melarikan diri,” katanya.

Roslan berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan akibat dari rempuhan.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan susulan.

myMetro 16 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment