March 26, 2016

Pengawal peribadi parah dibedil

Keadaan kereta yang dipandu mangsa. FOTO ihsan pembaca

Sepang: Pengawal peribadi kepada ahli perniagaan parah selepas ditembak dua lelaki dipercayai menunggang motosikal di bulatan berhampiran pekan Chaterfield atau dikenali Downtown KLIA jam 8.45 malam tadi.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit yang memandu kereta jenis Mercedes Benz didatangi dua lelaki yang melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah mangsa.

Menurut sumber, berikutan kejadian itu pengawal peribadi terbabit parah pada bahagian belakang bahu kanan akibat terkena tiga tembakan.

"Suspek didapati melepaskan tembakan dari arah depan dan cermin sisi sebelah penumpang hadapan.

"Siasatan awal membawa kepada penemuan lebih 10 butir kelongsong peluru yang dipercayai digunakan suspek,"katanya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendengar lebih 10 das tembakan dilepaskan di lokasi kejadian ketika sedang makan di sebuah restoran 24 jam berhampiran.

Katanya, dia sempat melihat dua lelaki melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

"Insiden berlaku sangat pantas dan tembakan dilepaskan bertalu-talu ke arah kenderaan dipandu mangsa," katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, selain kesan tembakan pada cermin kenderaan, beberapa das tembakan turut dilepaskan ke arah restoran 24 jam sementara satu das tembakan mengenai tiang besi awning restoran.

Selain itu, lebih 50 pelanggan restoran terperangkap lebih lima jam dan tidak dapat keluar dari lokasi kejadian berikutan polis menutup laluan keluar dari Downtown KLIA ke laluan utama.

myMetro 26 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment