March 16, 2016

Penerus legasi ayah

EMELIA mencari rezeki menjual kuih-muih dan nasi lemak menggunakan motosikal di sekitar Butterworth sejak lapan tahun lalu.

Butterworth: “Saya hanya mahu jadi pewaris dan ikut jejak langkah bapa yang kini uzur,” kata wanita berusia 35 tahun yang meneruskan tradisi bapanya menjaja nasi lemak dan kuih-muih dalam peti menggunakan motosikal di sekitar kawasan ini sejak lapan tahun lalu.

Emelia Saidin atau lebih mesra dipanggil Kak Emy berkata, bapanya pernah menjual nasi campur dan kuih-muih di kedai di Bagan Jermal, di sini, 40 tahun lalu.

“Sejak saya kecil, bapa berniaga warung di kawasan itu, namun pelanggan berkurangan disebabkan masalah parkir.

“Selepas itu, bapa beralih arah menjual nasi lemak dan kuih-muih dalam peti dan menggunakan motosikal dan kini saya mewarisi kerjanya itu selepas dia menghidap penyakit jantung,” katanya di luar Wisma TM, di sini, semalam.

Emelia berkata, rutin hariannya bermula seawal jam 7 pagi dari rumahnya di Bagan Jermal menuju beberapa lokasi dan berakhir sebelum tengah hari.

“Lokasi pertama di pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang di Kampung Gajah, Wisma TM, Klinik Syed Alwi dan seterusnya di kawasan berhampiran restoran nasi kandar di Bagan Ajam.

“Selepas itu, saya pulang ke rumah untuk menambah bekalan kuih dan meneruskan jualan di sekitar Bagan Jermal hingga Pantai Bersih dan Masjid Jamek Teluk Air Tawar,” katanya yang bercuti pada Sabtu dan Ahad.

Emelia berkata, dia mengaut untung RM60 sehari bergantung permintaan pelanggan dan kuih-muih yang tidak habis disedekahkan kepada satu tempat disukainya.

Beliau berkata, sepanjang menjaja, dia pernah terbabit kemalangan hingga pergelangan bahu kiri patah, namun masih dapat bergerak untuk melakukan kerja ringan.

“Saya anak bongsu daripada dua beradik dan mencari rezeki dengan cara itu bagi menyara ibu bapa dan bapa saudara sebelah ibu berumur 71 tahun yang sakit mental.

“Lapan tahun lalu saya bekerja di kilang di Prai, namun berhenti selepas ibu jari kaki kanan dipotong akibat kencing manis,” katanya yang belum berumah tangga.

Emelia berkata, dia berhasrat menjadi usahawan berjaya dan mahu meneruskan pekerjaan itu sampai bila-bila.

myMetro 16 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment