March 13, 2016

Penderitaan Fateeh sudah berakhir


Fateeh ketika masih sihat.

KANGAR - Lebih sebulan bertarung nyawa di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Ahmad Fateeh El Faheem Mohd Taufik, 15 bulan, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 pagi kelmarin.

Menurut ibunya, Siti Nuur Hidayah Hasyem, 26, dia dan suami reda dengan pemergian anak sulungnya itu.

“Fateeh sangat kuat, jika tidak mana mungkin dia mampu bertahan bertarung nyawa selama sebulan lebih, namun saya sudah tidak sanggup melihat penderitaannya,” katanya.

Sinar Harian pada 19 Februari lalu memaparkan kisah Fateeh yang memerlukan bantuan rawatan otak.

Fateeh disahkan mengalami kegagalan fungsi otak akibat terjatuh ke dalam kolam ikan pada 18 Januari lalu bersama bapa saudaranya di mana bapa saudaranya meninggal di tempat kejadian.

Nuur Hidayah berkata, selepas melihat wajah terakhir arwah Fateeh sebelum dikebumikan di Kampung Teluk Bukit Pinang Kepala Batas, Kedah segala kesedihan hilang serta-merta.

“Saya rasa bersyukur kerana akhirnya dia selamat dari penderitaan yang panjang.

“Semasa Fateeh dikafankan semua orang nampak muka dia bercahaya, berbeza dengan selama dia di hospital.

“Apa lagi yang saya nak melainkan melihat anak syurga saya bahagia. Jika dia terus di sini saya pasti dia akan terus menderita, “ katanya.

Sementara itu, Nuur Hidayah turut menjemput orang ramai untuk hadir ke Dewan Ukir Mall Alor Setar, Kedah pada Isnin 14 Mac ini untuk majlis bacaan tahlil khas buat anaknya yang akan dipimpin oleh Syeikh Neezam AlBanjari.

Sinar Harian 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment