March 16, 2016

Pemandu lori cedera ditikam jiran akibat pergaduhan

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori cedera selepas ditikam jirannya dalam satu pergaduhan yang membabitkan masalah tempat letak kereta di Taman Bukit Indah, di sini, 11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam di hadapan rumah mangsa dan jirannya.

"Mangsa ditikam di bahagian perut dan dia kini dirawat di sebuah hospital di sini selepas mengalami kecederaan di bahagian antara perut dan limpa," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Noor Hashim berkata susulan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri berjaya menahan dua lelaki, yang dipercayai jiran mangsa, di Taman Nusa Bestari, di sini, keesokan harinya, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata dalam penahanan pada kira-kira jam 6.45 petang itu, polis turut merampas beberapa barangan daripada mereka iaitu serpihan botol kaca, sebilah parang panjang dan sebilah gergaji besi.

Katanya kedua-dua mereka yang berumur 39 dan 71 tahun itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - Bernama

14 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment