March 13, 2016

Pelajar lemas dalam kolam kelab golf Dungun

TAN YI HONG

DUNGUN 6 Mac – Seorang pelajar, Tan Yi Hong,13, yang menghabiskan cuti hujung minggu dengan mandi-manda bersama dua rakannya di Kolam Renang Kelab Golf Desa Dungun, dekat sini ditemukan mati lemas petang semalam.

Ketika pergi ke kolam itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar di sini turut ditemani oleh ibu kepada dua rakannya itu yang kemudiannya menunggu mereka tidak jauh dari tempat kejadian.

Mangsa yang kurang mahir berenang dikatakan tergelincir di kawasan kolam yang dikhaskan untuk orang dewasa sedalam hampir lima meter namun tidak disedari oleh sesiapa sehinggalah kira-kira setengah jam kemudian.

Ibu kepada rakan mangsa Wong Kuew Chin, 45, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia berada tidak jauh dari kolam tersebut dan mangsa pada mulanya bersama dua anaknya berada di kawasan yang cetek.

“Saya sangka dia pergi ke tandas apabila tidak kelihatan bersama anak-anak saya. Kemudian saya rasa pelik kerana lama sangat, lalu saya terus mencarinya dan terlihat dia berada di dasar kolam.

“Saya kemudiannya menjerit meminta pertolongan orang ramai yang kemudiannya membantu menaikkan Yi Hong,” ujarnya.

Pasukan kecemasan dari Hospital Dungun yang tiba tidak lama kemudian cuba memberikan rawatan kepada mangsa namun disahkan telah meninggal dunia.

Sementara itu, ibu mangsa, Chang Siew Yong, 46, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah manakala suaminya sedang menjalani kemoterapi bagi rawatan penyakit kanser di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Saya benarkan dia pergi kerana rakan saya pun ada bersama temankan mereka. Tidak lama kemudian rakan saya telefon beritahu yang anak saya sudah lemas,” katanya.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan me­nerima laporan berkenaan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati lemas.

Utusan 7 Mac

0 comments:

Post a Comment