March 11, 2016

Pekerja hotel disumbat dalam almari

REMBAU - Seorang kakitangan hotel bukan sahaja disamun malah disumbat di dalam almari oleh dua pelanggan hotel berkenaan dalam kejadian di sebuah hotel di Chembong, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia pertengahan 20-an, yang bertugas di kaunter didatangi seorang pelanggan hotel yang memberitahu alat pemanas air di bilik yang disewanya tidak berfungsi dengan baik.

Menurut sumber, apabila tiba di bilik tersebut, secara tiba-tiba suspek memegang mangsa dari belakang dan rakannya pula bertindak pantas menyumbat kain ke dalam mulut mangsa.

“Tangan dan kaki mangsa kemudiannya diikat menggunakan tali kasut. Kedua-dua suspek kemudiannya mengeluar dan mengacukan parang ke leher mangsa serta bertanyakan di mana mangsa menyimpan duit di kaunter.

“Mangsa yang ketakutan terpaksa memberitahu wang terdapat di dalam laci kaunter dan suspek turut merampas telefon bimbit mangsa. Mangsa kemudiannya disumbat ke dalam almari hotel,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sumber berkata, kira-kira 15 minit selepas disumbatkan ke dalam almari, mangsa dapat melepaskan ikatan dan menyelamatkan diri serta segera memaklumkan kejadian rompakan tersebut kepada penyelia hotel bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian berkenaan.

"Selepas pihak polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati kedua-dua suspek mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada jam 5.20 pagi.

"Rakaman itu juga menunjukkan kedua-dua suspek bertindak menyelongkar laci di kaunter dan mengambil beberapa barangan.

“Anggaran kerugian sekitar RM4,000 membabitkan wang tunai sebanyak RM500, kamera jenis Nikon dan juga wang tunai di dalam peti keselamatan sebanyak RM2,500 dan kad akses bilik hotel," katanya.

Katanya, polis giat mengesan dua suspek tersebut berdasarkan petunjuk yang diperoleh di lokasi kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian 9 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment