March 14, 2016

Panik gila 'kebas' kereta polis

KEADAAN kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan pagi kelmarin.

Melaka: Disebabkan terlalu takut dikelilingi orang kampung selepas melanggar penunggang motosikal, seorang pemandu kereta bertindak meninggalkan isteri serta dua anaknya dengan melarikan kereta peronda polis, pagi kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun berkenaan memandu kereta Proton Saga BLM membawa isteri serta dua anak melanggar lampu isyarat di persimpangan Tanjung Minyak sebelum melanggar penunggang motosikal sehingga menyebabkan kecederaan.

Akibat kemalangan itu, pemandu kereta terbabit berhenti sebelum dikelilingi penduduk kampung yang dikatakan mahu mencederakannya disebabkan melanggar penunggang motosikal berusia 40-an.

Ketua Polis negeri Datuk Ramli Din berkata, polis menerima maklumat dari orang awam mengenai kemalangan itu pada jam 2.50 pagi .

“Apabila polis (pasukan peronda) tiba di lokasi, orang ramai sedang mengerumuni pemandu kereta terbabit dan polis bertindak menyelamatkannya dengan membawa masuk ke dalam kereta peronda polis.

“Ketika dua polis peronda cuba menyelamatkan isteri serta dua anaknya yang menjerit dalam kereta (Proton Saga BLM), lelaki terbabit bertindak memandu dan melarikan kereta peronda polis,” kata Ramli ketika dihubungi.

myMetro 14 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment