March 8, 2016

Operasi cari warga emas di Beting Beras diteruskan

BAGAN DATOH - Usaha mengesan seorang lelaki warga emas‎ yang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di pantai Beting Beras Basah di sini yang masuk hari keempat, masih lagi diteruskan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Tuan Soh Tuan Lah berkata sebanyak tujuh buah bot dari pelbagai agensi berkaitan digunakan bagi operasi mencari dan menyelamat serta kawasan pencarian turut diperluaskan sejauh 10 kilometer daripada lokasi kejadian.

"Hari ini, seramai 16 anggota termasuk unit skuba bomba Pulau Pangkor menyertai operasi menyelamat ini. Selain itu, pihak kami bersama beberapa lagi unit bantuan melakukan pencarian di kawasan pesisir pantai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain pihak bomba, operasi mencari dan menyelamat itu turut dianggotai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ong Tua Tau, 60, dari Bagan Datoh disedari hilang oleh rakannya yang menaiki sebuah bot ketika dalam perjalanan pulang daripada mencari kepah, Sabtu lepas.

Setelah menyedari mangsa hilang, 10 rakannya telah berpatah balik ke lokasi tempat mencari kepah namun tidak menjumpai mangsa dan keadaan air ketika itu sedang pasang. - Bernama

8 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment