March 16, 2016

Nyaris maut langgar babi

Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kereta yang terbakar.

TAPAH - Gara-gara terlanggar seekor babi liar yang sedang melintas jalan, seorang lelaki nyaris maut apabila kereta jenis BMW yang dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Tapah- Chenderiang (Jalan Chenderiang Lama), awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa, Tan Boon Huat, 36, dari Batu Pahat mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Chenderiang ke Tapah dan sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa terlanggar seekor babi liar yang melintas jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki terbabit hilang kawalan dan berpusing sebelum terbabas ke kanan jalan lalu melanggar tebing bukit.

“Kereta mangsa kemudian berhenti di kiri jalan sebelum terbakar, bagaimanapun mangsa berjaya menyelamatkan diri. Kes itu masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 2.55 pagi semalam.

Beliau berkata, sebaik sahaja jentera bersama anggotanya tiba di tempat kejadian, sebuah kereta berada di bahu jalan terbakar kira-kira 95 peratus.

“Kebakaran kereta berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.46 pagi,” katanya.

Sinar Harian 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment