March 20, 2016

Novelis terkenal jual sate

Baharuddin bersama novel tulisannya berjudul Senjakala yang pernah menjadi buku teks sastera wajib bagi pelajar SPM tahun 1988 hingga 1992.

Baharuddin mencucuk sate sebelum dijual.

Tetap menulis pada waktu lapangnya.

SEGAMAT - Melihat raut wajahnya yang semakin berkedut dimamah usia dan kegigihannya mengayuh basikal tua, tiada siapa menyangka, seorang warga emas yang tinggal menyewa di Jalan Temenggong, di sini, adalah seorang novelis terkenal tanah air.

Lebih mengejutkan, salah satu novel tulisannya berjudul ‘Senjakala’ juga pernah menjadi buku teks sastera wajib bagi pelajar untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1988 hingga 1992.

Baharuddin Kahar, 70, berkata, beliau kini menyara hidupnya dengan menjual sate di sebuah kedai makan di Jalan Kolam Air, di sini.

Bagaimanapun, beliau masih tetap aktif menulis cerpen dan novel ketika waktu lapangnya.

“Selain menulis, setiap hari pakcik akan jual sate kerana ini sahaja pendapatan pakcik. Walaupun orang lihat kehidupan pakcik seperti serba kekurangan, pakcik gembira dengan kehidupan sekarang ni.

“Pelbagai pekerjaan pernah pakcik lakukan sebelum jadi penulis, termasuk jadi buruh, peniaga, pemberita di sebuah akhbar tempatan, selain jadi guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Perak,” katanya.


Berhasrat jadi pemuzik

Menurut novelis kelahiran Tanjung Rambutan, Perak, itu, pada mulanya beliau berhasrat menjadi ahli muzik, namun tidak tercapai.

Beliau beralih kepada bidang penulisan pada awal 1970-an.

Katanya, penglibatannya dalam dunia penulisan juga bermula setelah membaca novel Salina karya A Samad Said yang diberikan oleh seorang rakan ketika umurnya 17 tahun.

Jelasnya, setelah selesai membaca novel itu, keinginannya untuk menulis semakin membara sehinggalah terhasil beberapa cerpen dan esei ringan sekitar 1970-an.

“Cerpen pertama pakcik berjudul ‘Abah Nak Jumpa Abang’ tersiar dalam Utusan Zaman pada 18 April 1971 dan ia menjadi pendorong buat pakcik menghasilkan cerpen bermutu hingga berjaya meraih beberapa habeliauh menerusi sayembara sastera.

“Selain menulis cerpen dan novel, dahulu pakcik juga pernah menulis puisi. Sehingga kini lebih kurang 40 puisi telah tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar, namun kehadiran pakcik dalam genre ini tidak begitu ketara dan kurang diperhatikan,” katanya.


Dua minggu siapkan Senjakala

Menurut Baharuddin, antara karya beliau yang sehingga kini mendapat perhatian ialah novel Senjakala sehingga melayakkannya memenangi habeliauh ‘Zamalah Sastera’, sekali gus menjadi penerima kedua anugerah itu selepas Sasterawan Negara, Usman Awang pada 1985.

Katanya, beliau mengambil keputusan menghasilkan Senjakala dan menzahirkannya dalam bentuk penulisan pada 1985 selepas hampir setahun memendam idea serta jalan cerita novel tersebut di dalam fikirannya.

“Ketika itu pakcik tulis jalan cerita Senjakala dengan hanya menggunakan tulisan tangan dari pagi hingga ke malam, manakala salah seorang rakan tolong taip.

“Pakcik terpaksa menyiapkannya dalam masa dua minggu kerana pada 1985, kerajaan Malaysia hantar pakcik untuk mengikuti kursus penerbitan di Turin, Itali dan di Hertlepool, England,” katanya.

Menurutnya, beliau juga tidak menyangka Senjakala terpilih memenangi hadiah Zamalah Sastera pada tahun yang sama ia diterbitkan, selain menerima royalti.

Sehingga kini, Baharuddin telah menghasilkan lebih 10 novel yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala novel Senjakala pula telah diulang terbit kali ketujuh tahun lalu.

Jelasnya, antara kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang penglibatannya dalam bidang penulisan ialah apabila manuskrip novel ‘Ceritera Dari Pinggir Taman’ setebal 500 muka surat hilang dalam simpanannya pada 2010.

“Ketika itu novel tersebut sudah hampir disiapkan dan disebabkan masalah pada komputer riba, semua manuskrip itu hilang, pakcik terpaksa tulis semula dari awal. Novel tersebut diterbitkan pada 2012,” katanya.


Menulis selagi ada kudrat

Menurut bapa empat anak itu, kegagalannya dalam perkahwinan terdahulu bersama bekas isterinya, Esah Abu Bakar, 65, juga tidak melunturkan semangatnya untuk terus menulis.

“Selagi ada kudrat, pakcik akan terus menulis dan menjual sate. Kadang-kadang ada juga pihak sekolah dan universiti yang jemput pakcik menyampaikan ceramah penulisan kreatif.

“Pakcik lebih suka merendah diri. Kegembiraan pakcik apabila empat anak pakcik semuanya melanjutkan pelajaran ke universiti, manakala anak kedua pula menunjukkan minat dalam bidang penulisan,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan DBP juga sering melawatnya di Segamat, selain memberinya peluang menzahirkan pandangannya terhadap bidang penulisan negara pada seminar yang diadakan.

Walaupun sudah bercerai, Baharuddin masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

Sejak bekas isterinya sakit beberapa tahun lalu, beliau sering berulang-alik mengayuh basikal ke rumah bekas isterinya untuk menghantar makanan dan membelikan ubat.

Sinar Harian 19 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment