March 9, 2016

Nilai kasih seorang abang


Che Ramlah bersama anak kesayangannya yang dianggap anugerah ALLAH, Kamal (kiri) dan Zukipeli.

Kamal membawa adiknya, Zukipeli bersiar-siar dengan basikal yang dikayuh dengan tangannya.

PASIR MAS - Setiap hari sekitar jam 5 petang, seakan menjadi rutin bagi Mohd Badli Soh, 44, untuk memerah keringat mengayuh basikal menggunakan kedua-dua belah tangan semata-mata mahu membawa adiknya,  Zukipeli Soh, 29, keluar mengambil angin di persekitaran rumah mereka.

Sambil ditemani sebuah radio, Mohd Badli atau lebih mesra dipanggil Kamal merupakan orang kurang upaya (OKU) sanggup mengayuh basikal hampir dua kilometer setiap hari semata-mata mahu menggembirakan adiknya.

Kamal yang cacat di bahagian kaki hanya mampu menggerakkan tangannya manakala Zukipeli cacat kesemua anggota badan.

Kedua beradik ini bukan sahaja sukar untuk bergerak tetapi tidak dapat bertutur dengan lancar.

Walaupun dilahirkan sebagai insan istimewa, kamal yang merupakan anak sulung kepada pasangan Soh Che Wil, 64, dan Che Rahmlah Omar, 60, tidak pernah mengabaikan tanggung jawab untuk menggembirakan adiknya.

Ibu mereka, Che Ramlah ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kual, Tok Uban menyuarakan rasa bangga mempunyai anak seperti Kamal yang begitu penyayang dan bertanggungjawab menjaga Zukipeli.

“Setiap pagi makcik keluar menoreh dan Kamal akan tunggu Zukipeli bangun. Bila adiknya bangun, dia akan mandikan serta beri adiknya makan.

“Disebabkan Zukipeli langsung tak dapat bergerak, Kamal jadi tempat dia bergantung dan menjalani kehidupan harian,” katanya.

Ibu ini memberitahu, setiap petang Kamal akan mengayuh basikal sejauh dua kilometer membawa Zukipeli bersiar-siar di sekitar kampung ataupun ke padang bola melihat anak-anak muda bermain bola.

Che Ramlah berkata, itulah rutin harian yang dilakukan oleh Kamal demi menggembirakan adiknya.

Walaupun kadang-kadang Kamal mengadu letih,  dia tetap gembira melakukan rutin tersebut apabila melihat adiknya gembira.

Selain Zukipeli yang merupakan anak ketiga, anak bongsu mereka, Muhammad Fikri Soh, 17, juga OKU dan cacat anggota kaki.

“Bagi makcik, walaupun kami diuji dengan kehadiran tiga anak OKU, namun ia tetap anugerah ALLAH untuk kami suami isteri. Ini kerana ketiga-tiga mereka tak pernah menyusahkan dan mereka senang dijaga.

"Alhamdulillah, urusan kami mencari rezeki tidak pernah terganggu kerana Kamal adalah anak dan abang yang baik,  bertanggungjawab  dan begitu sayangkan adik-adiknya,” katanya.

Sinar Harian 7 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment