March 16, 2016

Nekad belajar di maahad tahfiz


Ahmad Arif (tengah) bergambar kenangan bersama Hafizuddien (kiri) selepas tilawah al-Quran JKM Malaysia 2015 di UiTM Seri Iskandar, Perak.

BACHOK – Seorang anak yatim yang kehilangan bapa sejak 10 tahun lalu tekad keluar dari sekolah harian biasa sebaliknya meneruskan pengajian di maahad tahfiz.

Usaha itu tidak sia-sia apabila tahun ini Ahmad Arif Hanif Juhari, 13, dinobatkan sebagai qari terbaik keseluruhan dalam Tilawah al-Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia kali ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak.

Anak keempat daripada lima beradik yang berasal dari Kampung Sungai ini membawa pulang hadiah pakej umrah dan wang tunai untuk perbelanjaan di sana.

Kini Ahmad Arif menetap di Maahad Tahfiz al –Hashimi, Kampung Tualang, Kuala Krai dan hanya pulang beberapa sekali setahun ke rumahnya.

Ibunya, Aminah Mat,47, berkata, anaknya hanya sempat belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Perupuk selama tiga tahun sebelum memutuskan untuk memasuki maahad tahfiz itu beberapa tahun lalu.

“Dia memang berminat untuk belajar agama sejak kecil. Alhamdulillah dia boleh mengikuti pelajaran dengan baik di maahad itu. Dia hanya pulang ke rumah tiga kali setahun iaitu selama enam hari bercuti kerana gurunya tak mahu dia bergaul atau makan makanan di luar ketika cuti.

“Di sana makan minum hanya mengikut sunnah khusus untuk pelajar tahfiz. Dia kena ikut tujuh sunnah termasuk solat tahajud, solat dhuha, membaca al- Quran sebelum terbit fajar, solat berjemaah di masjid, menjaga wuduk dan istighfar setiap masa. Kini dia sudah hafaz 16 juzuk dan berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya ke Mesir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat JKM Bachok baru- baru ini.

Aminah berkata, beliau amat bersyukur dengan kejayaan anak- anaknya itu yang ingin mendalami ilmu agama dan turut berjaya dalam pelajaran.

Anak sulungnya, Nur Izzati, 20, kini penuntut di Universiti Malaysia Terengganu dalam bidang Sains Perikanan; anak keduanya, Nur Naziah,19, pelajar Kolej Kemahiran Mara, Besut dalam bidang kejuruteraan dan rekabentuk; manakala anak ketiga Ahmad Ahnaf Muzir,17, dan anak bongsunya, Ahmad Halim masih berada di sekolah menengah dan sekolah kebangsaan di Bachok.

Sementara itu, Penolong Pegawai JKM Bachok, Hafizuddien Ayob berkata, pemilihan peserta tilawah diadakan di peringkat daerah sebelum terpilih untuk wakili Kelantan bersama lima lagi peserta lain.

Beliau berkata, setiap negeri menghantar enam wakil mengikut kategori dan Ahmad Arif dua kali mewakili JKM ke tilawah kebangsaan.

“Ahmad Arif ini seorang anak yang bijak. Dia hanya mengikuti latihan dengan guru tersohor negeri ini tak lebih daripada 10 kali. Guru al-Qurannya maklumkan bahawa dia berani dan tenang ketika hadapi apa juga ujian.

“Alhamdulillah kami amat  bersyukur di atas kejayaan dia yang mengharumkan nama Bachok dan Kelantan sekali gus. Kami doakan dia berjaya dalam pengajiannya dan pulang berbakti untuk negeri ini," katanya.

Sinar Harian 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment