March 9, 2016

Naluri kata heli meletup

TAN Sri Yahaya Ahmad terbabit dalam kemalangan maut helikopter terhempas dekat Kuala Lipis Pahang.

ANGGOTA pasukan penyiasat di lokasi kejadian.

Kuala Lipis: “Saya masih ingat peristiwa itu biarpun hampir 19 tahun berlalu.

“Macam baru saja berlaku,” kata Che Mat Awang, 73, penduduk Kampung Atong, Jerangsang, di sini, saksi nahas helikopter mengorbankan bekas Pengerusi Kumpulan DRB-HICOM, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad.

Dalam kejadian pada 3 Mac 1997 turut terkorban isteri Yahaya, Puan Sri Rohana Othman, 49, dan juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32.

Che Mat berkata, ketika kejadian jam 11 malam itu, dia baru hendak menghisap rokok selepas minum kopi sambil berehat di rumahnya.

Katanya, dia kemudian terdengar bunyi helikopter terbang rendah berhampiran rumahnya sebelum mendengar bunyi letupan yang kuat.

“Saya tidak pernah mendengar bunyi letupan sekuat itu. Isteri, Makalsum Mejah, 68, ada bertanya sama ada itu letupan bom.

“Tetapi, naluri saya kuat mengatakan bahawa ia letupan helikopter yang kami dengar terbang rendah sebelum itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menurutnya, letupan itu menyebabkan ramai penduduk keluar dari rumah dan suasana mula kecoh apabila ramai yang membuat andaian ada helikopter tentera terhempas di kampung itu.

Katanya, penduduk kemudian keluar beramai-ramai mencari punca letupan berkenaan dengan berpandukan cahaya lampu dari rumah dan lampu suluh.

“Tiba di satu lokasi berhampiran rumah saya, ada orang yang menjerit dan melihat objek terbakar di celah pokok getah. Apabila kami menghampiri kawasan itu, saya lihat serpihan helikopter terbakar.

“Oleh kerana bahang api, kami tidak dapat menghampiri helikopter itu. Ada orang kampung kata mangsa berada di dalam helikopter itu tetapi kami tidak nampak sebab keadaan api yang besar,” katanya.

Bapa kepada enam dan datuk kepada 23 cucu itu berkata, kira-kira setengah jam kemudian, sepasukan polis tiba di tempat kejadian dan mengarahkan kami supaya berada jauh dari kawasan nahas.

“Polis juga mengingatkan penduduk supaya tidak mengambil apa-apa serpihan dari tapak nahas.

“Apa yang saya ingat, polis menunjukkan logo DRB pada badan helikopter itu sebelum membuat panggilan telefon menggunakan telefon bimbit yang bersaiz agak besar,” katanya.

Dia berkata, untuk jam berikutnya, suasana semakin sibuk apabila semakin banyak kenderaan pihak berkuasa dan petugas media memasuki kawasan nahas.

Katanya, ketika itu, baru mereka mendapat tahu yang helikopter berkenaan membawa Yahaya, Rohana dan Azlizan sebelum pihak berkuasa menemui mayat mereka di bawah serpihan helikopter terbabit, kira-kira jam 1 pagi.

“Mayat mangsa ditemui tidak jauh antara satu sama lain dengan barangan peribadi, termasuk beg tangan wanita. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis,” katanya.

myMetro 7 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment