March 16, 2016

'Nabil janji jaga adik...'


MOHD Shaznil Nabil (kanan) bersama adiknya, Mohammad Syazrel Iman bersama gambar arwah ibu mereka.

Ipoh: “Nabil menyesal kerana selalu meninggikan suara pada umi, sekarang Nabil sudah insaf dan berjanji menjaga adik serta belajar hingga berjaya,” kata Mohd Shaznil Nabil Saiful Bahari, 9, yang kematian ibunya, petang kelmarin.

Nabil bersama adiknya Mohammad Syazrel Iman, 7, sebelum ini terpaksa ponteng sekolah selama tiga minggu kerana menjaga ibu mereka yang terlantar sakit di rumah mereka di Lorong Tok Ketua 1, Manjoi di sini, sebelum arwah meninggal dunia petang kelmarin dan selamat dikebumikan, semalam.

Arwah ibu dua beradik berkenaan, Norhaliza Mohd Noordin, 34, yang mereka panggil umi difahamkan jatuh sakit secara mengejut dan pengsan selepas menjamu selera di sebuah kedai makan di Manjoi dan terlantar di rumah mereka sejak tiga minggu lalu.

Ibu tunggal berkenaan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, petang Khamis lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada keesokan pagi sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Nabil, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Manjoi 1 ketika ditemui di rumahnya berkata, sebelum ‘pergi’, ibunya berpesan supaya dia menjaga diri dan adik serta menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab.

myMetro 15 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment