March 4, 2016

Mualaf hilang sumber pendapatan


Muzaffar dan Maisarah (duduk) ketika menerima kunjungan wakil Badan Kebajikan Saudara Kita di rumah mereka.

SEGAMAT - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah situasi dihadapi seorang saudara baharu di Bukit Siput di sini, yang kehilangan hampir keseluruhan sumber pendapatannya sebagai tukang kasut sejak menjaga isterinya yang menghidap pelbagai penyakit.

Muzzafar Abdullah, 46, berkata, isterinya, Maisarah Abdullah, 44, yang juga seorang mualaf menghidap penyakit kencing manis sehingga terpaksa disuntik insulin empat kali sehari, selain turut menghidap darah tinggi.

Kesempitan hidup mereka bermula selepas tiba-tiba hidung, mulut dan air kencing Maisarah berdarah ketika mengemas rumah pada Julai tahun lalu.

“Saya segera membawanya ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dia kemudian ditahan tiga hari di wad dan doktor juga belum berjaya mengesan dan mengesahkan penyakitnya walaupun tiap-tiap bulan saya berulang-alik membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penyakit isterinya juga semakin serius apabila dia tidak boleh berdiri terlalu lama dan melakukan sebarang pekerjaan.

Selain itu, perutnya akan mengembung jika makan atau minum terlalu banyak.

Jelas Muzzafar, pada 23 Februari lalu, doktor melakukan ujian colonscopy di HDS dengan memasukkan kamera melalui mulut isterinya untuk melihat keadaan usus Maisarah dan turut mengesan keganjilan apabila terdapat beberapa ketulan pada ususnya.

“Tapi, doktor belum sahkan penyakit isteri saya dan memintanya datang semula menjalani ujian colonscopy kali kedua pada 6 Mac ini dengan memasukkan kamera melalui bahagian lain pula.

“Doktor cuma beritahu, hati isteri dijangkiti kuman dan telah merebak ke bahagian ususnya sehingga menyebabkan bahagian tersebut bocor dan berketul, namun doktor belum mengesahkan sama ada ia kanser atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, pendapatannya sebagai tukang kasut terjejas selepas hampir dua bulan tidak membuka kedai dan terpaksa mengharapkan bantuan bulanan RM300, masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

Muzaffar berkata, disebabkan kesempitan wang, sewa rumah dan bil utiliti telah empat bulan tertunggak dan dia juga terpaksa meminta bantuan seorang rakannya di Kampung Jawa, di sini, untuk menjaga anak tunggal mereka, Muaz Muzaffar, 5, sejak dua minggu lalu.

“Dengan keadaan isteri sakit, kehidupan saya jadi huru-hara. Ada yang mendakwa isteri saya berpura-pura sakit untuk meraih simpati dan bantuan masyarakat sekeliling.

“Harapan saya sekarang adalah untuk mengetahui penyakit sebenarnya melalui ujian dilakukan nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Muzaffar bernombor 162393798201 atau menghubunginya di talian 0149119606.

Sinar Harian 4 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment