March 26, 2016

MPV, kereta 'mandi' parit

KERETA Toyota Avanza dan Proton Wira yang terbabas ke dalam parit di Parit 5, Ban 2 Sekinchan, semalam.

Sabak Bernam: Enam sekeluarga nyaris lemas apabila kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Avanza dinaiki terbabas masuk ke dalam parit di Parit 5, Ban 2 Sekinchan, sejurus terbabit merempuh sebuah kereta.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, kereta Proton Wira dari jalan besar menuju ke Ban Kenal (Jalan Terusan Utama) berlanggar dengan kenderaan Toyota Avanza itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 2.33 petang.

“Dua jentera bersama enam anggota diketuai Padzil Hamad dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Semua mangsa bagaimanapun sudah dikeluarkan dari dalam kenderaan dengan bantuan orang awam. Beberapa petugas pasukan dari Klinik Kesihatan Sekinchan turut memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya.

Menurutnya, kenderaan Toyota Avanza itu dipandu seorang lelaki berusia 40-an selain dinaiki tiga perempuan dewasa dan dua kanak-kanak.

“Manakala kereta Proton Wira yang turut terhumban ke dalam parit itu dipandu lelaki berusia 40-an.

“Pemandu kereta Proton Wira patah kedua-dua kaki manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menaiki Toyota Avanza pula mengalami patah tangan kiri,” katanya.

Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

myMetro 22 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment