March 14, 2016

'Minta maaf , pergi tak kembali...'

Saria (tengah) sebak melihat gambar Shahril ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Pak Badol, Melur, Kota Bharu. FOTO Nor Amalina Alias

Kota Bharu: "Arwah sempat berhubung dengan adiknya pada pagi hari kejadian dan meminta sampaikan maaf kepada semua orang dan memberitahu dia mungkin pergi tak kembali," kata Saria Rahimsa, 49 ibu kepada Shahril Afizat Mohamad, 22, anggota tentera yang maut dalam kejadian trak tentera terbalik di Ranau, Sabah pagi semalam.

Saria berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu menghubungi adiknya, Shahril Shariman,18, pada 4 pagi.

Katanya, arwah sempat pulang bercuti selama seminggu yang menjadi kepulangan terakhir arwah selepas dua tahun tidak pulang kerana ditugaskan di Sabah.

“Arwah kembali ke Sabah pada 11 Januari lalu dan kali terakhir berbual di telefon bersama saya pada Jumaat lalu. Ketika bercuti mencuci tiga keping gambar terbarunya dengan saiz besar yang digantung di dalam rumah.

"Arwah juga sempat memberitahu nak masukkan duit untuk belanja Ramadan nanti, selain meminta saya masuk meminang seseorang dan menyatakan hasrat untuk berkahwin namun semuanya tidak kesampaian," katanya.

Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya pada jam 5.30 petang selepas pulang daripada kenduri di Kampung Gunung, Bachok.

"Saya berdebar apabila tiba di rumah lihat ramai orang dan hampir pengsan sebaik mengetahui berita kematian anak saya itu," katanya.

Menurutnya, anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Raja, Melor dan jenazah dijangka tiba 5 petang ini.

myMetro 14 Mac 2016


Dua anggota tentera maut, 24 cedera

Keadaan trak tentera yang terbabas. FOTO ihsan bomba

Ranau: Dua anggota tentera maut, 24 lagi cedera selepas trak tentera yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 40 Jalan Ranau-Telupid, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian pada 11.30 pagi itu, trak berkenaan dalam perjalanan dari Kem Sri Kinabatangan ke arah pekan Ranau terbabas selepas mengalami kegagalan brek ketika menuruni bukit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Jimmy Lagon berkata, dua anggota tentera, Mohamad Zaim Salhudin dan Shahril Afizat Mohamad maut akibat parah di beberapa anggota badan.

"Semua mangsa yang cedera termasuk dua anggota tentera yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi, kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan awam lain dan ia berlaku dalam keadaan cuaca baik serta jalan yang kering ," katanya.

myMetro 13 Mac 2016


Dua tentera maut trak terbabas

RANAU – Dua anggota tentera berpangkat prebet maut setelah trak yang mereka naiki terbabas di Kilometer 137, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, mereka yang terbunuh ialah Shahril Afizat Mohamad, 22, dan Mohammad Zaim Salhudin, 20 daripada Batalion 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan dikatakan berlaku ketika trak yang dinaiki 26 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan ke Kem Lok Kawi dari Kem Sri Kinabatangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, trak terbabit hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Siasatan awal mendapati, dua prebet berkenaan telah dibawa ke Hospital Ranau menggunakan kenderaan awam sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo 14 Mac 2016


Detik terakhir perbualan anak, ibu 

Kapar: “Saya tak sangka semalam (kelmarin) adalah detik terakhir saya mendengar suaranya (Mohamad Zaim). Tiada sebarang perubahan pada nada suara dan kami bersembang seperti biasa,” kata Maimunah Latif, 51, ibu kepada Allahyarham Prebet Mohamad Zaim Salhudin, 20, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 40 Jalan Ranau-Telupid, Sabah, pagi kelmarin.

Menurutnya, sebelum kemalangan berlaku, Mohamad Zaim menghubunginya untuk memaklumkan perjalanannya dari Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah, menuju ke Ranau untuk menyertai sukan olahraga.

“Pada waktu itu (panggilan telefon) dia cuma beritahu hendak pergi sukan olahraga dan minta supaya saya mendoakan perjalanannya selamat.

“Memang sudah menjadi rutin, Mohd Zaim akan menelefon saya setiap hari terutama selepas solat Maghrib. Setiap kali telefon, dia akan mengingatkan saya supaya menjaga kesihatan dan segera memberitahunya jika mengalami masalah kesihatan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Kapar Indah, di sini, semalam.

Maimunah berkata, Mohamad Zaim sebelum ini ada menyuarakan hasrat untuk berpindah, namun terpaksa menunggu kira-kira tiga tahun lagi memandangkan Allahyarham baru sahaja ditugaskan di Batalion 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Kinabatangan, Sandakan tahun lalu selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi rumah keluarga Allahyarham Mohamad Zaim sebaik sahaja jenazah tiba di kediamannya Sungai Kapar Indah, petang semalam.

Lebih memilukan apabila bapa Allahyarham, Salhudin Idris, 59, dan Maimunah gagal mengawal perasaan apabila diberi peluang untuk melihat wajah Allahyarham Mohamad Zaim buat kali terakhir.

Seramai 100 jemaah menunaikan solat jenazah di pekarangan kediaman keluarga Allahyarham Mohamad Zaim yang dibawa pulang menggunakan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi semalam.

Jenazah Mohamad Zaim kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Kapar pada jam 4.30 petang.

myMetro 15 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment