March 11, 2016

Meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru


Mangsa dipercayai meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan di paru-paru.

KOTA BHARU - Seorang anggota Sukarelawan Simpanan Polis Di Raja Malaysia (SSPDRM) wanita meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan paru-paru ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan Kok Lanas di sini.

Sebelum kejadian, mangsa Fatin Nazrinawanie Mohd Nazaruddin, 20, yang bertugas di Balai Kok Lanas‎ pernah dua kali mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terbabit pada 6Mac semalam ekoran mengalami masalah sesak nafas.

Mangsa yang sebelum ini mengadu mengalami bengkak di muka dan sesak nafas, mendakwa dia mengambil vitamin produk kecantikan.

Ekoran aduan mangsa, doktor turut mengambil sampel darah‎ mangsa dan mangsa dilaporkan stabil pada kali pertama kunjungan ke klinik Isnin lalu.

Mangsa bagaimanapun datang sekali lagi ke klinik terbabit semalam selepas mengadu demam dan batuk selama dua hari di samping sakit tekak dan masih dalam keadaan normal walaupun pucat.

Mengikut ibu mangsa, anaknya mengalami batuk-batuk yang kuat pada jam 2 petang semalam dan cuba mendapatkan rawatan semula di klinik kesihatan namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap mangsa tiada sebarang unsur jenayah terhadap kematiannya.

Mayat mangsa‎ dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan mangsa dipercayai meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan di paru-paru.

Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian 10 Mac 2016


Bukan sebab produk kecantikan

Kota Bharu: Anak saya kerap demam akibat tonsil dialaminya sejak kecil lagi dan kami tidak sedar keadaannya serius sehingga beberapa hari lalu dia mengadu sesak nafas dan sukar tidur.

“Saya beberapa kali membawanya ke klinik dan Unit Kecemasan Hospital Machang, namun tidak mengetahui punca dia sesak nafas dan hanya dimaklumkan akibat demam biasa,” kata Zamzulina Yajid, 42, ibu kepada Fatin Nazrinawanie Mohd Nazaruddin, 20, yang meninggal dunia jam 2.30 petang, kelmarin.

Kematian Fatin Nazrinawanie yang juga anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) di Balai Kok Lanas itu menjadi viral selepas laporan polis dibuat tersebar dan mendakwa mangsa maut kerana pengambilan produk kecantikan.

Bagaimanapun, bedah siasat dijalankan ke atas mayatnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini malam kelmarin mendapati punca kematian adalah akibat paru-paru berair.

Zamzulina yang ditemui di rumahnya di Taman Bukit Idaman, Kok Lanas, di sini turut menafikan punca kematian anaknya akibat tersalah mengambil produk kecantikan.

“Dia memang ada mengambil vitamin kecantikan, namun baru memakan lima biji pil, lagipun arwah tidak mengambil sebarang ubat atau makanan tambahan tanpa meminta izinnya dulu kerana mahu memastikan ia selamat,” katanya.

Katanya, anak sulung daripada lima beradik itu mula demam sejak awal bulan ini dan pulih selepas mengambil ubat.

“Tetapi, Ahad lalu dia sesak nafas dan saya sekali lagi membawanya ke Klinik Kesihatan Kok Lanas. Ujian darah mendapati dia demam biasa.

“Semalam (kelmarin) arwah sekali lagi sesak nafas dan semakin tidak bermaya menyebabkan saya membawanya ke klinik kesihatan.

“Ketika di klinik dia semakin tenat, saya memeluknya dengan erat dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum doktor mengesahkan dia meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dia menganggap kejadian itu ujian dan reda dengan pemergian anaknya yang sudah berkhidmat dalam SSPDRM lebih setahun lalu.

Bercerita lanjut mengenai arwah, katanya, Fatin Nazrinawanie rapat dengan ahli keluarga terutama adik bongsunya Mohd Danial Firdaus yang berusia setahun dua bulan.

Katanya, pada 24 Mac ini, arwah anaknya itu sepatutnya menghadiri temuduga untuk kakitangan sokongan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di Gong Kedak.

“Dia gembira apabila memperoleh temuduga itu kerana mahu mendapatkan pekerjaan tetap dan membantu keluarga.

“Namun takdir menentu segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu mengesahkan mangsa meninggal akibat paru-paru berair. dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, kes itu juga tiada kaitan dengan pengambilan vitamin kecantikan.

myMetro 11 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment