March 13, 2016

'Menantuku, sahabatku'

Mohammad (kiri) dan bapa mentuanya Ibrahim di kedai membaiki peralatan elektrik di Selising.

Pasir Puteh: Hubungan mereka bukan hanya sebagai bapa dan menantu, bahkan jauh lebih istimewa apabila kekurangan diri menyatukan mereka dalam ikatan kasih sayang yang mendalam.

Ibrahim Ahmad, 64, lumpuh bahagian bawah anggota badan ketika berusia 20 tahun selepas terjatuh dari pokok kelapa, begitu juga Mohammad Deraman, 46, yang tidak lagi dapat berjalan selepas menghidap demam panas ketika berusia 14 tahun.

Ibrahim berkata, dia mengenali Mohammad lebih tiga tahun lalu ketika aktif menjadi atlet paralimpik Kelantan untuk acara boling padang.

“Di situ, saya bertemu dia yang turut mewakili Kelantan untuk acara sama. Ketidakupayaan diri seolah-olah menyatukan kami berdua hingga terbina ikatan kasih sayang yang kukuh.

“Melihat ketulusan hatinya yang tidak putus asa meneruskan kehidupan walaupun diuji dengan pelbagai dugaan, saya menjodohkannya dengan anak perempuan saya, dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya gembira melihat mereka bahagia. Kami bukan hanya menantu dan mentua, bahkan sahabat susah senang, malah lebih daripada itu,” katanya.

Ibrahim yang berasal dari Kampung Perupok, Bachok berkata, dia menggunakan kepakaran membaiki televisyen dan peralatan elektrik untuk menyara keluarga manakala Mohammad pula mahir membaiki kasut.

Berikutan itu, kedua-duanya menyewa rumah kedai di Selising untuk dijadikan pusat perkhidmatan masing-masing sejak empat tahun lalu.

Mohammad yang berasal dari Jerantut, Pahang berkata, dia tidak mempunyai keluarga lain melainkan Ibrahim sekeluarga sejak kematian ibunya pada 2004.

“Saya anak bongsu daripada lapan adik beradik, namun semua abang dan kakak meninggal dunia ketika masih kanak-kanak disebabkan demam panas.

“Ketika penyakit itu menyerang saya pada usia 14 tahun, saya masih mampu bertahan, namun ditakdirkan lumpuh begini. Selepas itu, ayah meninggal dunia pada 1994.

“Pada 2004, ibu juga pergi meninggalkan saya,” katanya.

Menurutnya, sejak bertemu bapa mentuanya itu, dia menjadi lebih bermotivasi untuk membina kehidupan terbaik terutama selepas bernikah dan mempunyai keluarga sendiri.

myMetro 12 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment