March 2, 2016

Mayat tertiarap di pantai Kuala Rompin

Mayat mangsa yang ditemui tertiarap lengkap berpakaian disahkan sebagai mangsa yang hilang selepas terjatuh ke laut ketika membaiki bot rosak.

KUANTAN - Seorang krew bot tunda yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika membaiki kerosakan enjin bot sejak Sabtu lalu ditemui mati lemas di kawasan pantai Kuala Rompin berhampiran Kampung Aman, Rompin, pagi semalam.

Mayat warga Indonesia dikenali sebagai Masri ditemui orang awam kira-kira jam 7.30 pagi dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin dan berdasarkan pengecaman kapten bot mengesahkan mayat itu sebagai Masri yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot 26 Februari lalu.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai krew bot tunda menggunakan nama Buana Hercules dalam perjalanan dari Jurung, Singapura ke Thailand.

“Ketika sampai di kawasan perairan Kuala Merchong, Nenasi, Pekan bot terbabit mengalami kerosakan enjin. Mangsa yang cuba membaiki bot terbabit dilaporkan terjatuh ke laut dan tenggelam di bawa arus,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhammad Aidil berkata, mangsa cuba diselamatkan rakan namun gagal dan kejadian dimaklumkan kepada polis di Balai Polis Nenasi.

Sinar Harian 1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment