March 2, 2016

Mayat tergantung dalam kedai

BIDOR - Seorang lelaki ditemui dalam keadaan tergantung dalam sebuah kedai cuci kereta, di sini,  kira-kira jam 8.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, mayat mangsa berumur 28 tahun, asal Klang, Selangor ditemui di dalam sebuah kedai cuci kereta oleh rakan sekerjanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang berusia 25 tahun, tiba di lokasi kejadian untuk bekerja dan mendapati mangsa tidak kelihatan selain pintu hadapan premis berkunci dari dalam.

"Rakan mangsa memanggil mangsa namun tidak menyahut sebelum mendapati mangsa tergantung di dalam premis tersebut.

“Satu laporan polis dibuat sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mengarahkan rakan mangsa mengumpil dinding zink belakang kedai untuk masuk," katanya.

Beliau berkata, polis mendapati mangsa tergantung  dengan tali nylon yang diikat pada siling manakala kerusi plastik yang disusun di lantai.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut.

"Siasatan  mendapati, mangsa bekerja di bengkel itu dan tinggal seorang diri sejak enam bulan lalu di sini.

“Berdasarkan siasatan juga, tiada unsur jenayah berlaku dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sinar Hraian 13 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment