March 20, 2016

Mayat ditemui terlentang tanpa baju

SABAK BERNAM - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh di dalam longkang kebun kelapa di Kampung Batu 1 Tebuk Pulai, di sini, hari ini.

Mangsa, Ali Ismail, 68, yang beralamat di Taman Medan, Petaling Jaya ditemui pemilik kebun itu kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika ingin menjalankan kerja pembersihan di kebunnya.

Mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan terlentang tanpa baju dan hanya berseluar itu dipercayai mati kira-kira empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kesan kelar pada bahagian leher.

Berdasarkan siasatan awal polis di tempat kejadian, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan di lokasi berkenaan.

Pasukan  Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) tiba di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk tujuan bedah siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian itu dan masih menjalankan siasatan lanjut punca sebenar kejadian.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03- 32242222 bagi siasatan lanjut.

Sinar Harian 2 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment