March 11, 2016

Maut terlanggar tebing


Keadaan kereta mangsa yang terbalik selepas kejadian kemalangan di Kilometer 348, kelmarin.

RAUB - Seorang peniaga maut selepas kereta yang dipandunya terbabas melanggar tebing longkang sebelum terbalik di Kilometer 348, jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 petang itu, mangsa Tajarul Ariffin Mat Yunus, 41, beralamat di Kuala Lipis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Kuala Lipis.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Waja yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar tebing longkang lalu terbalik.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Wan Zahari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 9 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment