March 11, 2016

Maut tercampak keluar dari kereta


Mohd Khairul maut selepas tercampak keluar dari keretanya. FOTO Rosli Ilham

Dungun: Pemuda maut dan rakannya pula cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 330.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat susur keluar Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), 1.30 tengah hari tadi.

Dalam kemalangan itu, Mohd Khairul Amri Md Zainal, 32, maut selepas tercampak keluar dari kereta Proton Wira dipandunya.

Rakannya, Ahmadi Jambol, 40, yang duduk di sebelah pemandu cedera dan menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua sahabat itu yang bekerja sebagai buruh binaan dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke rumah mereka di AMBS.

Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal sebelum merempuh jambatan di situ.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

myMetro 9 Mac 2016


Tukang paip maut tercampak dari kenderaan

DUNGUN - Seorang tukang paip, Mohd Khairul Anuar Amri Md Zainal, 32 maut setelah tercampak dari kenderaan yang dinaiki dalam satu nahas jalan raya di kilometer 330.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT 2), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari, kenderaan jenis proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai terbabas selepas melanggar pengadang jambatan.

Sewaktu kejadian mangsa dan abang tirinya, Ahmadi Jambol, 40, dalam perjalanan dari Bandar Kuantan menuju ke rumahnya di Bandar al-Muktaffi Billah Shah.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu terbabas menyebabkan kereta berpusing sejauh kira-kira 100 meter.

Akibat pelanggaran itu, kenderaan mangsa remuk teruk bermula dari bahagian hadapan sehingga ke belakang.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut serta-merta di lokasi kejadian, manakala abang tirinya dikejarkan ke unit kecemasan Hospital berhampiran.

Ibu mangsa, Che Marian Ibrahim, 60 berkata, dia menerima panggilan kecemasan daripada Ahmadi kira-kira jam 1.30 yang ketika itu dalam perjalanan ke Hospital Dungun.

"Ketika menghubungi saya, Ahmadi yang mengalami kecederaan parah dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital.

"Anak saya baharu 3 bulan bekerja sebagai tukang paip dan pulang menziarahi  keluarga pada Isnin lalu serta pulang semula pada hari yang sama.

"Tiada sebarang perubahan ditunjukkan kecuali dia memberitahu saya supaya tidak perlu bersusah payah mencari duit untuk menampung perbelanjaan seorang lagi adik perempuannya yang belajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur.

"Katanya dia yang akan tanggung semua perbelanjaan tetapi sekarang dia sudah tiada dan keadaan ini amat menyedihkan kami sekeluarga,"katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk urusan selanjutnya dan diserahkan kepada keluarga," katanya.

Sinar Harian 9 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment