March 9, 2016

Maut selepas hantar anak di rumah ibu


KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri maut selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu tar di Jalan‎ Pintasan Johor Bahru-Mersing berhampiran simpang tiga keris, pagi tadi.

Pasangan suami isteri terbabit, Jamal Ismail, ‎44 dan Nor Azlizah Mohd Sofian Lew, 31 ‎maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam kenderaan tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa baharu menghantar dua anaknya di rumah ibu bapa ‎mereka di Taman Laksamana dan dalam perjalanan ke tempat kerja Nor Azlizah di Taman Sri Saujana.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 9.11 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera penyelamat, sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan juga sebuah kenderaan utiliti dengan kekuatan 11 anggota.‎

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor ‎telah bertembung dengan lori yang datang dari arah Johor di simpang lampu isyarat kawasan tersebut.

"Kereta Perodua Viva tersebut turut diseret sejauh kira-kira 100 meter ke tepi parit jalan dan menyebabkan kereta yang dipandu lelaki Melayu dan dinaiki seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian.‎

"Pihak bomba juga mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Manakala pemandu lori yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut," katanya.

Sinar Harian 8 Mac 2016


Suami isteri ajal bersama

Kota Tinggi: Suami isteri maut selepas kereta dinaiki bertembung lori membawa batu di Jalan Pintasan Johor Bahru-Mersing di sini, 9 pagi tadi.

Jamal Ismail, 44, dan isteri, Nor Azlizah Mohd Sofian Lew, 31, maut di tempat kejadian apabila kereta dinaiki turut diseret kira-kira 100 meter selepas rempuhan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 9.11 pagi.

"Kami bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera, sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti dengan kekuatan 11 anggota.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru itu bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan di simpang lampu isyarat.

"Akibat rempuhan, kereta berkenaan diseret kira-kira 100 meter sebelum masuk ke dalam tepi parit jalan menyebabkan pemandu dan penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu lori yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.

myMetro 8 Mac 2016


Yatim piatu sekelip mata

Kota Tinggi: Dua beradik yang masih kecil menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu dan bapa mereka maut apabila Perodua Viva dinaiki dirempuh dan diseret lori sejauh 70 meter dalam kemalangan di simpang tiga lampu isyarat laluan Persimpangan Keris, Kilometer 35.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, Jamal Ismail, 44, dan isteri, Nor Azlizah Mohd Sofian Lew, 31, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan serta tersepit di dalam kenderaan yang remuk teruk itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan tar dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju Mersing melanggar kereta mangsa.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan melanggar kereta mangsa yang dipandu Nor Azlizah di bahagian kanan sebelum menyeret kenderaan terbabit kira-kira 70 meter lalu terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

“Mangsa bersama suami dalam perjalanan ke Taman Saujana di sini dan akibat kemalangan berkenaan, pasangan suami isteri itu maut di lokasi kejadian,” katanya.

Rahmat berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini, untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori berusia 25 tahun itu hanya cedera ringan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 9.11 pagi.

“Kami bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera, sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti dengan kekuatan 11 anggota,” katanya.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Sofian Lew Abdullah, 74, berkata, anaknya Nor Azlizah bersama suami dalam perjalanan ke tempat kerja di Taman Saujana di sini ketika kejadian.

“Setiap hari kecuali pada Sabtu dan Ahad, mereka menghantar dua anak perempuannya, Aina Sofia berusia lima tahun dan Amnah Sofia, 16 bulan di rumah saya, sebelum ke tempat kerja.

“Hari ini (semalam) Amnah Sofia menghulur tangan sampai menangis untuk bersalaman dengan ibu bapanya dan mereka turut melambai ke arah anak mereka.

“Dia seperti mengetahui \ saat itu terakhir dia bertemu dengan ibu dan bapanya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HKT di sini, semalam.

myMetro 9 Mac 2016


Lambaian terakhir dua beradik

Keadaan kereta mangsa yang terseret selepas terlibat kemalangan maut di Kilometer 35.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, pagi semalam.

KOTA TINGGI - Dua beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapanya maut dalam nahas ngeri membabitkan Perodua Viva yang dinaiki dengan sebuah lori membawa muatan batu tar.

Kejadian berlaku di Kilometer 35.5 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran lampu isyarat Persimpangan Keris dekat sini, pagi semalam.

Pasangan suami isteri, Jamal Ismail, 44, bekerja sebagai pembantu guaman dan Nor Azlizah Mohd Sofian Lew, 35, yang bekerja sebagai akauntan di Glomax Sutera, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa baru menghantar anaknya di rumah ibu bapa Nor Azlizah di Taman Laksamana dan dalam perjalanan ke tempat kerja Nor Azlizah di Taman Sri Saujana.

Bapa Nor Azlizah, Mohd Sofian Lew Abdullah, 71, berkata, dia dan isteri menjaga dua cucunya, Aina Sofia, 5, dan Amnah Sofiah berusia setahun, sejak mereka masih bayi lagi.

Menurutnya, menjadi rutin harian pasangan suami isteri itu menghantar Aina Sofia ke tadika swasta di Taman Daiman setiap pagi dan menghantar Amnah Sofiah ke rumahnya sebelum ke tempat kerja masing-masing.

“Setiap hari, mereka akan hantar Amnah Sofiah ke rumah kami kecuali Sabtu dan Ahad. Pagi tadi (semalam) saya dapat lihat kelainan keletah anak beranak ini apabila anaknya sungguh-sungguh mahu bersalaman dengan ayahnya dan sempat melambai-lambai ketika mereka bergerak pergi.

“Selalunya Amnah Sofiah tidak terlalu kisah nak bersalaman dengan ayahnya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) semalam.

Menurutnya, dia dapat tahu mengenai kejadian yang menimpa anak dan menantunya itu pada jam 10.30 selepas dimaklumkan oleh anaknya yang lain.

Katanya, jenazah pasangan suami isteri itu akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam selepas solat Asar.

Terseret sebelum jatuh dalam parit

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman ketika mengesahkan kejadian berkata, kemalangan maut itu berlaku kira-kira jam 8.57 pagi.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing melanggar kereta mangsa di bahagian tepi sebelah kanan.

Kereta terbabit terseret sejauh 70 meter dari tempat kejadian sebelum jatuh ke dalam parit di tepi jalan tersebut.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta iaitu Nor Azlizah dan suaminya yang duduk di bahagian penumpang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 25 tahun hanya mengalami luka-luka kecil di muka,” katanya.

Rahmat berkata, hasil siasatan mendapati, tempat kejadian adalah simpang tiga berlampu isyarat di mana ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering, manakala kawasan persekitaran adalah ladang sawit.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HKT untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu kira-kira jam 9.11 pagi.

Menurutnya, pihaknya segera ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera penyelamat, sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan juga sebuah kenderaan utiliti dengan kekuatan 11 anggota.

Katanya, pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian 9 Mac 2016







0 comments:

Post a Comment