March 13, 2016

Maut kereta terjunam dalam sungai


KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Tanzania maut manakala rakan lelakinya cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai berhampiran kawasan medan selera Ampang Water Front, Ampang dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa Apolonia Mbogo David Mwangosi, 46, maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu, Linus Okafor, 35, warga Nigeria, hanya cedera ringan.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Deputi Superintendan Hambazi Abdul Rahman berkata, kereta dipandu Linus merempuh penghadang besi di tempat letak kereta Ampang Water Front sebelum terjunam ke dalam sungai.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Ampang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Pegawai Bomba Kanan M. Pusparajan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.52 pagi dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari tempat kejadian kira-kira 3 pagi. Bernama

12 Mac 2016


Penumpang maut, pemandu cedera selepas kereta terjunam dalam sungai

AMPANG JAYA - Seorang wanita warga Tanzania maut manakala rakan lelakinya cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam sungai Ampang Water Front di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Apolonia Mbogo David Mwangosi, 46, disahkan maut di lokasi kejadian manakala rakannya yang merupakan pemandu kereta terbabit, Linus Okafor, 35, mengalami kecederaan pada kaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, kejadian dipercayai bermula apabila pemandu kereta jenis Honda City itu sedang memasuki tempat letak kereta di bangunan restoran itu.

“Siasatan awal mendapati, pemandu kereta terbabit tertekan pedal minyak menyebabkan kereta yang dipandu telah hilang kawalan lalu merempuh penghadang besi tingkat satu ruang legar Ampang Water Front.

“Kereta itu kemudian terjunam ke dalam sungai di hadapan bangunan tersebut secara terbalik,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. - K! ONLINE

12 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment