March 20, 2016

Maut kereta putus dua

MUHAMMAD Asyraf

Kulim: Seorang remaja, Muhammad Asyraf Halim, 17, meninggal dunia selepas Proton Wira dinaiki bersama tiga rakannya hilang kawalan lalu melanggar pokok menyebabkan kereta berkenaan terputus dua di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) berhampiran Kampung Sungai Seluang di sini, jam 7 petang kelmarin.

Muhammad Asyraf yang berasal dari Kampung Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang meninggal dunia selepas lima jam menerima rawatan di Hospital Kulim akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, siasatan awal mendapati Proton Wira dipandu rakan mangsa yang juga mekanik berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Kulim Hi-Tech menghala ke Lunas.

“Tayar depan sebelah
kiri kereta itu pecah menyebabkannya berpusing beberapa kali sebelum melanggar pokok di bahu jalan. Akibatnya, Proton Wira terbabit putus dua.

“Bahagian bonet kereta kemudian tercampak ke tengah jalan. Pada masa sama, Proton Waja yang mengekori belakang Proton Wira berkenaan gagal mengelak menyebabkannya merempuh bonet berkenaan.

“Proton Waja itu kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dengan keempat-empat tayar di atas,” katanya, semalam.

Menurut beliau, Muhammad Asyraf yang duduk di tempat duduk belakang tersepit di dalam kereta.

Orang ramai cuba membantu mengeluarkan mangsa namun gagal sebelum mangsa dikeluarkan anggota bomba.

myMetro 20 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment