March 16, 2016

Maut dirempuh kereta

FOTO ihsan pembaca

Shah Alam: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Persiaran Kayangan Seksyen 7, berhampiran susur keluar ke lebuh raya Persekutuan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa dikenali sebagaiIskandar Ashraf Ismail, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati insiden berlaku di persimpangan lampu isyarat dan motosikal terbabit dari arah Padang Jawa yang ingin memasuki lebuh raya Persekutuan.

"Sebuah kereta dari arah Seksyen 7 menuju ke Padang Jawa telah merempuh motosikal berkenaan yang menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya.

"Tiada saksi di lokasi kejadian bagi mengesahkan mana-mana kenderaan terbabit yang tidak mengikut lampu isyarat," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan rakannya yang kritikal turut ditempatkan di hospital berkenaan.

Shafien berkata, pemandu serta penumpang kereta hanya mengalami cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 16 Mac 2016


Penunggang motosikal maut tercampak

Kemalangan turut menyebabkan kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di lampu isyarat Persiaran Kayangan Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 7, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa yang maut dikenali Iskandar Ashraf Ismail, 22.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila mangsa bersama rakannya yang membonceng motosikal datang dari arah Padang Jawa memasuki lebuh raya.

Menurutnya, berlaku pertembungan antara motosikal tersebut dengan sebuah kereta sehingga menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak.

“Penunggang motosikal maut di lokasi kejadian, manakala pembonceng parah.

“Pemandu dan penumpang kereta pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada saksi tampil untuk mengesahkan mana-mana kenderaan yang tidak mengikut lampu isyarat.

Shafien berkata, kemalangan turut menyebabkan kereta mengalami kerosakan  teruk di bahagian hadapan.

“Orang ramai atau saksi yang melihat kejadian diminta tampil bantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 17 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment