March 11, 2016

Maut dihempap kereta perisai

MANGSA maut dihempap kereta perisai ketika mengajar seorang pelatih.

Pekan: Pekerja DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) maut selepas dihempap kereta perisai di kilang berkenaan di sini, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa, Abdul Razak Jabbar, 45, sedang mengajar seorang pelatih mengendalikan kenderaan itu.

Bagaimanapun, kereta perisai dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbalik dan menghempap mangsa.

Mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pelatih berkenaan berusia lingkungan 20 tahun mengalami cedera ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengkebumian petang tadi.

myMetro 10 Mac 2016


Jurulatih maut, kereta perisai hilang kawalan

PEKAN - Seorang jurulatih memandu kereta perisai maut selepas dihempap sebuah kereta perisai dalam kejadian kemalangan di trek pandu uji kilang syarikat berkenaan di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Mangsa, Abdul Razak Abdul Jabbar, 46 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kluang, Johor merupakan seorang pesara tentera yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, ketika kejadian mangsa sedang mengajar seorang juruteknik, Mohd Amirnuddin Osman, 23, memandu kenderaan tempur berkenaan di litar pandu uji kilang itu.

"Ketika kejadian kereta perisai yang dipandu Amirnuddin sedang menuruni laluan bukit di litar berkenaan bagaimanapun ia hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kereta perisai itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Amran, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya di Pahang Tua dekat sini.

Jelasnya, Mohd Amirnuddin yang mengalami kecederaan ringan di tangan turut dirawat di hospital sama.

Sinar Harian 10 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment