March 11, 2016

Mati dikelar, dihentak objek tumpul

Mayat mangsa ditemui tertiarap dalam longkang dengan keadaan berlumuran darah di Batu 9, Kampung Siba, kelmarin. Gambar kecil: Nadarajah

JERAM BUNGOR - Mayat seorang pekerja sebuah syarikat perlombongan di Penjom ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan kelar di leher dalam longkang di tepi jalan besar, Batu 9, Kampung Siba, pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai R Nadarajah, 52, dari Taman Setia Jaya, Lipis ditemui hanya berseluar tanpa baju dan berlumuran darah dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tujuh jam sebelum mayatnya ditemui.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 7.50 pagi sebelum beberapa anggota polis ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan unit forensik ke atas mangsa mendapati, terdapat kecederaan serius di bahagian leher dipercayai dikelar selain kesan hentakan objek tumpul di kepala.

“Polis turut menemui sebilah pisau dan sebatang besi di tempat kejadian, dipercayai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Menurut Abdul Razak, susulan penemuan mayat lelaki itu, pihaknya menahan tujuh suspek termasuk isteri mangsa bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala saksi yang mempunyai maklumat atau mengetahui tentang kejadian diminta tampil ke IPD Lipis untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 10 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment