March 26, 2016

Masmeera sudah tiada

NUR Izzara Masmeera

Balik Pulau: “Ketika itu, anak masih memegang kaki saya dan kami sedang bersiap mahu pulang ke rumah,” kata Nor Zalina Ahmad, 40, menceritakan detik akhir bersama anaknya yang lemas selepas tersembam dalam baldi di rumah neneknya di Pangsapuri Saujana, Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas, kelmarin.

Nor Zalina berkata, anaknya, Nur Izzara Masmeera Iderus, 15 bulan, didapati hilang dan dia yang menyangkakan anaknya itu keluar rumah cuba mencarinya di luar kediaman.

“Saya keluar rumah mencari anak kerana menyangkakan dia menuju ke lif di tingkat tujuh rumah neneknya itu, bagaimanapun masih gagal mengesannya.

“Kami sekeluarga cuba mencari anak yang mesra dengan panggilan Masmeera itu dan terkejut apabila mendapati dia tersembam dalam baldi bilik air,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Sulup, Teluk Kumbar, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, Masmeera yang sudah boleh berjalan menuju ke bilik air tanpa disedari ibu, nenek serta adik-beradiknya yang lain.

Ketika itu, ibunya bersama lima lagi adik-beradik Masmeera sedang bersiap selepas bapa mereka, Iderus Mat Nor, 40, memberitahu akan mengambil mereka pulang.

Nor Zalina dan anak kerap berkunjung ke rumah ibunya itu dan secara kebetulan pada hari kejadian, dia singgah kerana membeli keperluan anak lelakinya berusia 10 tahun yang menerima tawaran bersekolah di Maahad Tahfiz di Bayan Lepas.

Bagaimanapun, mereka yang sedang bersiap itu langsung tidak menyedari Masmeera berjalan menuju ke bilik air seorang diri dan selepas puas mencari di luar serta dalam rumah, bayi terbabit ditemui neneknya dalam keadaan kepala tersembam dalam baldi yang mempunyai air sedalam 10 sentimeter.

myMetro 25 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment