March 19, 2016

Mangsa sempat minta tolong

KUALA LIPIS - Seorang buruh asing sempat menjerit meminta tolong sebelum dia disahkan meninggal dunia sebaik sampai di Klinik Kesihatan Pos Betau, di sini, selepas terbabit nahas di kawasan pembalakan Hulu Jelai, laluan Koyan-Cameron Highlands, kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa, Sariadi, 21, berasal dari Acheh, Indonesia, parah dari bahagian pinggang hingga kaki selepas lori muatan balak yang dipandunya sendirian hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar  tebing bukit.

Menurutnya, mangsa dipercayai baru selesai memunggah balak di dalam hutan dan mahu membawa hasil berkenaan ke tempat pengumpulan.

“Mangsa yang tersepit berusaha keluar untuk meminta pertolongan. Penyelia kawasan berkenaan yang menyedari Sariadi menjerit meminta tolong, bertindak menyelamatkan mangsa dan membawanya ke Klinik Kesihatan Pos Betau,” katanya.

Abdul Razak berkata, walau bagaimanapun sebaik tiba di klinik mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Lipis untuk bedah siasat.

“Jenazah mangsa telah dituntut abang kandungnya untuk dikebumikan di Acheh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang mengetahui tentang kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nafis Nazaruddin di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 17 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment