March 26, 2016

Mangsa keracunan makanan meninggal dunia

Hawa Buyong, 47, dimasukkan ke hospital sejak 4 Mac lalu, meninggal dunia Rabu lalu. - Foto Fail

Ipoh: Wanita mangsa keracunan makanan selepas makan di gerai di Batu Gajah pada 4 Mac lalu meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, malam tadi.

Mangsa, Hawa Buyong, 47, meninggal dunia 11.20 malam tadi di wad Unit Rawatan Rapi hospital dan kes berkenaan disahkan Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juita Ghazalie.

Adik mangsa Arison Buyong, 36, ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB di sini, hari ini berkata, arwah meninggal dunia di sisi ahli keluarga selepas tidak sedarkan diri dan kritikal selama 20 hari sejak dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, arwah masih bujang dan bekerja di stesen minyak di Seri Iskandar, dekat sini dan ahli keluarga reda dengan pemergiannya selepas melihat penderitaannya bertarung nyawa akibat kegagalan otak.

"Arwah mula nazak kira-kira 11 malam tadi dan gagal diselamatkan sebelum doktor mengesahkan kematiannya.

"Kami reda dengan permegiannya, namun berharap kes keracunan makanan ini disiasat dengan teliti dan telus bagi mengenalpasti bagaimana racun 'Carbamate' boleh ada dalam makanan yang dimakan arwah," katanya.

Menurutnya, jenazah arwah selepas selesai dibedah siasat akan dikebumikan di Tanah Peekuburan Islam Siputeh, Tronoh, hari ini.

Dalam kejadian 4 Mac lalu 103 mangsa dilaporkan keracunan makanan selepas makan makanan di gerai di Siputeh, Batu Gajah.

Pada hari pertama kejadian, 37 mangsa dimasukkan ke Hospital Batu Gajah dan HRPB sebelum bilangan itu meningkat kepada 103 orang selepas tampil mendapatkan rawatan akibat mengalami gejala keracunan seperti muntah dan cirit-birit.

myMetro 24 March 2016


Buka kertas siasatan kes makanan beracun

Ipoh: Polis membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca kematian wanita akibat makanan beracun di sebuah gerai makan di Siputeh, Batu Gajah awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata setakat ini kertas siasatan itu adalah di bawah kes 'mati mengejut'.

Selain itu beliau berkata pihaknya turut membuka kertas enkuari polis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara terperinci termasuk mengenal pasti jika wujud sebarang unsur jenayah dalam kes berkenaan.

"Kita akan dapatkan laporan daripada Jabatan Kimia tentang apakah bahan yang menjadi racun kepada mangsa sehingga dia meninggal dunia," katanya pada majlis sambutan Hari Polis Ke-209 peringkat negeri di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini, hari ini.

Rabu lalu, Hawa Buyong, 46, yang dimasukkan ke hospital sejak 4 Mac lalu, meninggal dunia kira-kira 11.25 malam di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, yang dilapor akibat komplikasi ekoran oksigen tidak dapat mengalir dengan secukupnya ke otak mangsa.

myMetro 25 Mac 2016



Adik tidak sedar diri sejak berada di hospital

IPOH - "Saya tidak dapat bercakap dengan Hawa kerana dia tidak sedar dan tidak bercakap sejak dimasukkan ke hospital pada 4 Mac lalu," demikian luahan Anita Buyong, kakak kepada seorang mangsa keracunan makanan yang meninggal dunia malam tadi.

Anita, 48, berkata pada mulanya dia dimaklumkan oleh rakan adiknya bahawa Hawa mengalami sesak nafas di tempat kerja sebelum dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Doktor memberitahu jantung adik saya dah berhenti. Dia (Hawa) tidak sedarkan diri dan terus dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya kepada pemberita di HRPB di sini, hari ini.

Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu tidak mempunyai sebarang penyakit, katanya dalam nada sebak.

Hawa, 46, dimasukkan ke HRPB selepas mengalami keracunan makanan dan meninggal dunia kira-kira pukul 11.25 malam tadi di ICU akibat komplikasi yang menyebabkan oksigen tidak cukup disalurkan ke otaknya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Siputeh di Jalan Tronoh kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Beliau berkata, Allahyarham belum berkahwin dan bekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Tronoh sejak dua bulan lalu selepas berhenti meniaga pisang goreng di hadapan rumahnya di Kampung Piandang, Siputeh.

"Dia juga pernah bekerja di stesen minyak di Kuala Kangsar, tempat saya bekerja sekarang ini. Dia tidak mahu meniaga kerana mahu peroleh gaji tetap," katanya yang merupakan anak ketiga. - Bernama

24 Mac 2016








0 comments:

Post a Comment