March 6, 2016

'Mana nak cari RM11,000?'

SULAIMAN (kanan) bersama sebahagian penduduk kampung Pengkalan Permatang yang merayu pembayaran tanah dipertimbangkan.

Kuala Selangor: “Saya tinggal di sini sudah lebih 30 tahun dan jika diperintahkan keluar ke mana kami sekeluarga hendak pergi dalam usia sebegini,” kata Baseri Adam, 63, salah seorang penduduk Kampung Nelayan Pasir Penambang dekat sini.

Baseri antara 50 nelayan atau penduduk kampung berkenaan yang dikehendaki membayar Lesen Menduduki Sementara (LMS), cukai tanah, denda dan bayaran pelan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor.

Mereka menerima notis pembayaran itu daripada pejabat tanah berkenaan awal Januari lalu dengan tarikh akhir bayaran ialah pada 4 April ini.

Jika pembayaran tidak dilakukan penduduk berdepan masalah termasuk tanah tidak boleh diduduki lagi.

Baseri berkata, dia bingung kerana dikehendaki membayar RM11,000 untuk bayaran berkenaan.

“Di mana saya hendak cari wang sebanyak itu sedangkan ketika ini pendapatan kami tak menentu malah ada ketika kami bergantung dengan bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab sepatutnya memikirkan keadaan mereka malah kawasan itu diteroka ibu bapa mereka sekitar 1970-an.

“Dulu kawasan ini hutan dan orang tua kami menebas serta membuka penempatan di sini.

“Jika kami diarahkan berpindah, ke mana kami hendak pergi sedangkan inilah tempat tinggal kami sejak dulu lagi,” katanya yang mempunyai enam anak.

Penduduk lain Abdul Rashid Mat Dun, 77, berkata, pihak berkuasa sepatutnya melihat nasib mereka.

myMetro 6 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment