March 16, 2016

Man Dayak meninggal dunia

JOHOR BAHRU – Pemain dram kumpulan rock popular Lefthanded, Man Dayak, meninggal dunia pada pukul 12 tengah malam kelmarin dipercayai akibat serangan sakit jantung.

Allahyarham atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Othman, 54, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 12 te­ngah malam di sisi keluarganya selepas dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail di sini.

Vokalis kumpulan tersebut, Nash atau nama sebenarnya Nasaruddin Alias berkata, keluarga terdekat Allahyarham Man Dayak memberitahunya, arwah mengadu mengalami kesukaran untuk bernafas di rumahnya di sini pada Ahad lalu.

“Salah seorang anak arwah menelefon saya sekitar pukul 12 tengah malam sebelum saya bergegas pada pukul 2 pagi untuk melawatnya di Skudai Kiri, Johor.

“Saya bersama rakan-rakan termasuk Man Kidal menguruskan jenazah arwah. Arwah memang seorang yang pendiam terutama apabila melibatkan perkara peribadi seperti ke­adaan kesihatannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo 16 Mac 2016


Man Dayak sudah tiada

Man Dayak meninggal dunia tengah malam tadi. FOTO ihsan pembaca

Kuala Lumpur: Pemain dram kumpulan Lefthanded, Man Dayak atau nama sebenarnya Abdul Rahman Othman, 54, meninggal dunia akibat serangan jantung tengah malam tadi.

Vokalis Lefthanded, Nash memaklumkan, jenazah Allahyarham Man dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif, Jalan Tampoi, 11.15 pagi tadi.

"Dia meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sekitar 12.30 tengah malam. Selepas mengadu sesak nafas, dia dikejarkan ke hospital dan di situ, Allahyarham disahkan meninggal dunia.

"Sebelum ini, dia ada memaklumkan sakit dada tetapi tidak menjalani pemeriksaan," katanya.

Allahyarham Man Dayak meninggalkan tiga anak, Nur Hafidah Abdul Rahman, 23, Mohd Nur Hafiz Abd Rahman, 22, dan Nur Hafiezah Abd Rahman, 18.

"Saya mewakili keluarga arwah mengucapkan terima kasih kepada rakan dan keluarga yang datang menziarahi.

"Man seorang rakan yang baik hati dan senang didekati. Kehilangannya sememangnya dirasai lebih-lebih lagi oleh rakan terdekat," katanya.

Selain Nash, turut hadir ke majlis pengkebumian adalah beberapa rakan artis antaranya Man Kidal dan Ayai Ilusi.

myMetro 15 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment