March 26, 2016

Lori terbalik pemandu lari

PEKERJA pembersihan membantu membersihkan pasir.

Subang Jaya: Laluan lebuh raya bertukar rupa menjadi ‘padang pasir’. Itu keadaan yang berlaku apabila sebuah lori membawa muatan kira-kira 40 tan pasir terbalik di kilometer 15.5, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) di sini.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari semalam, muatan pasir dibawa lori itu tumpah dan menutup jalan di lebuh raya itu sejauh lebih 50 meter.

Kejadian kemalangan itu mengakibatkan laluan menjadi sesak teruk selama lebih 2 jam.

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Jaswan Singh berkata, kemalangan itu menyebabkan muatan pasir seberat kira-kira 40 tan bertaburan sejurus lori itu terbalik.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan bagaimanapun gagal dikesan selepas kejadian dipercayai bertindak melarikan diri.

“Pasukan anggota Bomba dan Penyelamat Damansara tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 1 tengah hari dan melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Anggota bomba bertungkus lumus memindahkan pasir itu selama hampir dua jam,” katanya.

Menurutnya, pemilik lori pasir itu yang berada di lokasi kejadian turut gagal menghubungi pemandu lori berkenaan.

Jaswan berkata, operasi pembersihan selesai kira-kira jam 3 petang dan aliran trafik kembali lancar.

Difahamkan kemalangan berpunca akibat lori berkenaan dipandu laju hingga menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan dan terbalik.

myMetro 25 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment