March 13, 2016

Lima lemas, seorang hilang, 24 selamat

Anggota JPAM dan bomba ketika operasi mencari dan menyelamat kejadian bot berlanggar di Sungai Serusup, Tuaran, malam tadi. FOTO ihsan JPAM Sabah

Tuaran: Lima wanita termasuk budak perempuan berusia lima tahun lemas, seorang masih hilang selepas dua bot berlanggar di Sungai Serusup, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, dipercayai terdapat 30 individu berada dalam dua bot berkenaan sebelum berlanggar berikutan keadaan lokasi yang gelap.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.07 malam dan mengerahkan 12 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian.

"Perlanggaran membabitkan dua bot dipercayai dinaiki 30 individu terdiri daripada penduduk kampung berhampiran.

"Sebuah bot membawa penumpang pulang dari kerja manakala sebuah lagi dalam perjalanan ke majlis keraian di Kampung Penimbawan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mulliadi berkata, setakat ini seramai 24 mangsa sudah dijumpai termasuk lima daripadanya disahkan sudah meninggal dunia manakala seorang masih hilang.

"Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan mangsa yang hilang.

"Operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama penduduk kampung," katanya.

myMetro 13 Mac 2016


Mak Jin gadai nyawa selamatkan kanak-kanak

Mak Jin, 42, (kanan) melawat rakannya, Marsidah Abu A-jarim, 46, antara mangsa bot karam di Teluk Sulaman, Tuaran. - Foto LANO LAN

Tuaran: Seorang penumpang yang terselamat dalam kejadian pelanggaran dua bot di Sungai Serusup dekat Panimbawan di sini, malam tadi, bergadai nyawa demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak.

Mak Jin, 42, terpaksa menanggalkan seluarnya bagi memudahkan pergerakan untuk menyelamatkan dirinya dan kanak-kanak itu yang berpaut di bahunya.

"Kanak-kanak itu menjerit meminta tolong. Saya suruh dia berpaut di belakang saya dan membawanya ke perahu (salah sebuah bot yang berlanggar)," kata lelaki itu ketika ditemui pemberita di Hospital Tuaran di sini hari ini.

Beliau yang masih trauma dengan kejadian itu melahirkan penghargaan kepada penduduk kampung yang datang membantu menyelamatkan penumpang bot.

Rosidah Abu Zarin, 45, pula berkata ketika kejadian masing-masing menyelamatkan diri dan menjerit meminta pertolongan daripada orang kampung yang datang memberi bantuan.

"Terima kasih kepada orang kampung yang menyelamatkan saya dan menghantar saya ke hospital," katanya yang turut bersedih dengan mangsa bot yang terkorban.

Sementara itu, Dewi Ratna Sari Dariman, 25, sama sekali tidak menyangka kejadian itu berlaku dan bersyukur kerana terselamat.

"Saya bersyukur kerana pandai berenang. Saya menyelamatkan diri dan pergi ke bot yang terapung," katanya yang berasal dari Tawau.

Bagaimanapun, Dewi sedih dengan pemergian rakannya Nurul Hazda Hussin yang terkorban dalam kejadian itu.

Katanya dia dan Nurul Hazda bersama rakan sekerja lain dalam perjalanan ke Panimbawan dari Jeti Kampung Serusup bagi menghadiri majlis kenduri kahwin rakan mereka di sana semasa kejadian berlaku.

Nurul Hazda antara enam terkorban dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu. - BERNAMA

myMetro 13 Mac 2016


Hilang rakan karib

Mayat salah seorang mangsa, Ainol dibawa keluar oleh saudara-maranya dari Unit Forensik Hospital Tuaran selepas dibedah siasat, untuk dibawa pulang. FOTO Lano Lan

Tuaran: “Ketika kami pulang, sebuah bot dari arah bertentangan bertembung dengan kami. Kedua-dua bot tiada lampu dan itu yang saya ingat,” kata Makjin Tuein, 42, yang terselamat dalam kejadian bot berlanggar di Sungai Serusop, di sini, malam tadi.

Kejadian pada 10.30 malam itu menyebabkan enam penumpang bot terkorban akibat lemas, manakala 24 lagi selamat.

Manga yang terkorban lima wanita dan seorang lelaki. Mereka dikenal pasti sebagai Salumal Maid, 46, Nurqaseh Salim, 5, Jiah Maidin, 23, Ainul Hahnam Ajaran, 30, Nurul Hazda Husin, 20, dan Wong Vun Chong, 47.

Makjin berkata, Vun Chong adalah rakan karibnya dan kehilangannya amat dirasai.

Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan berpunca daripada cuaca gelap, bot tiada lampu dan lebih muatan selain semua penumpang tidak memakai jaket keselamatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran Asisten Superintendan Raji Hussin berkata, siasatan awal mendapati, kejadian membabitkan 30 penumpang terdiri daripada penduduk tempatan.

"Sebuah bot membawa 10 penumpang bertembung bot membawa 20 penumpang di sungai Serusop menyebabkan kedua-duanya terbalik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi tadi.

Menurut Raji, bot dari jeti Kampung Serusop membawa 20 penumpang manakala sebuah bot dari jeti Kampung Penimbawan membawa 10 penumpang.

"Bot membawa 20 penumpang dikatakan dalam perjalanan menghadiri majlis kenduri di Kampung Penimbawan.

"Lima mangsa ditemui lemas di tempat kejadian manakala mangsa keenam dijumpai terapung kira-kira 60 meter dari jeti Kampung Serusup pada jam 8.35 pagi tadi," katanya.

Raji berkata, semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk bedah siasat manakala mereka yang terselamat juga dihantar ke hospital sama untuk dirawat.

myMetro 13 Mac 2016


6 maut tragedi majlis berinai

TUARAN – Enam termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut apabila bot yang mereka naiki ketika dalam perjalanan pulang dari majlis berinai di Kampung Penimbawan berlanggar sebelum kedua-dua bot berkenaan karam di Sungai Serusop di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, lima daripada mangsa merupakan perempuan. Mereka ialah Salumal Maid, 46 dan anak perempuannya, Nurqaseh Salim, 5, Jiah Maidin, 23, Ainul Hahnam Ajaran, 30, Nurul Hazda Husin, 20. Seorang lagi ialah lelaki, Wong Vun Chong, 47.

Difahamkan, Salumal dan Vun Chong merupakan anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) manakala Ainul dan Nurul Hazda pekerja syarikat peruncit Jakel.

Pemang­ku Ketua Polis Daerah Tuaran, Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian terdapat dua buah bot yang melalui kawasan sama di sungai terbabit.

Katanya, sebuah bot membawa 10 orang dari Kampung Penimbawan me­nuju ke Jeti Serusop manakala sebuah bot lagi membawa 20 orang dari arah bertentangan.

Difahamkan, sebelum perlanggaran berlaku, bot dari Penimbawan sempat menyuluh lampu suluh­nya ke arah bot dari Jeti Serusop memaksa bot berkenaan mengelak dalam keadaan melintang sebelum bertembung pada bahagian kanan bot.

“Sebaik perlanggaran berlaku, kesemua mangsa dari ke­dua-dua bot te­lah tercampak ke dalam sungai. Ada antara mereka berenang ke kawasan hutan paya, memaut pada bot tetapi selebihnya lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Jarak lokasi perlanggaran terbabit adalah kira-kira satu kilometer dari Jeti Serusop.

Kosmo 14 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment