March 16, 2016

Lemas dalam kolam renang hotel

PORT DICKSON – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas lemas di kolam renang sebuah hotel di Batu 6, jalan Pantai Port Dickson petang kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Port Dickson, Deputi Superintenden Zainudin Ahmad berkata, mangsa Nurul Alia Husna Zaharuddin ditemui di dasar kolam renang kanak-kanak oleh ahli keluarganya selepas menyedari kanak-kanak tersebut hilang dari pandangan.

Beliau berkata, mangsa datang ke hotel untuk bercuti bersama 20 ahli keluarganya dari Johor sekitar jam 5 petang kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan siasatan polis, sekitar jam 5.15 petang tujuh anggota keluarga terdiri daripada tiga dewasa (ibu dan ibu saudara mangsa) serta empat kanak-kanak-kanak (mangsa dan tiga sepupu) ke kolam renang kanak-kanak hotel berkenaan.

Katanya, tidak berapa lama kemudian, ibu dan dua ibu saudara mangsa naik ke apartmen yang disewa di tingkat lima hotel.

“Semasa berada di balkoni apartmen, ibu saudara mangsa memandang ke arah kolam renang di mana mangsa dan anak saudaranya mandi, namun didapati mangsa tiada di kolam tersebut.

“Mereka terus turun semula ke kolam dan mencari, bagaimanapun mangsa ditemui tenggelam di dasar kolam tersebut. Bantuan pernafasan kecemasan dilakukan oleh kakitangan hotel dan kakak saudara mangsa sebelum dikejarkan ke sebuah pusat perubatan tentera berhampiran hotel. Kemudian mangsa dibawa ke bilik kecemasan Hospital Port Dickson, namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Zainudin berkata, mangsa dibawa ke unit forensik HPD untuk dibedah siasat dan punca kematian didapati akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, Zainudin menegaskan, ibu bapa penjaga perlu lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak mereka.

“Kita bersedih dengan kejadian ini dan untuk memastikan ia tidak berulang, semua ibu bapa dan penjaga perlu peka dan tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap keselamatan anak ketika beriadah di kolam renang.

“Jangan tinggalkan anak bersendirian bermain di kolam renang tanpa pengawasan orang dewasa atau bergantung semata-mata pada pengawasan pihak hotel. Walau bagaimanapun pihak hotel dalam masa yang sama juga perlu memainkan peranan dengan baik, memantau dan menyelia kawasan kolam renang.

“Kita tidak mahu keseronokan bercuti ahli keluarga berakhir dengan tragedi sedih seperti ini,” katanya.

Sinar Harian 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment