March 13, 2016

Leher Dhia pula ditebuk


Laporan Sinar Harian pada 20 Januari 2016. Gambar kecil: Perkongsian perkembangan Dhia di laman sosial Facebook.

ALOR SETAR - Bayi berusia empat bulan terpaksa menjalani pembedahan kali kedua di bahagian leher selepas berdepan masalah pernafasan, kelmarin.

Awal Februari lalu, Dhia Aisyah Mohamad Faizal dibedah kali pertama untuk membaiki saluran usus, kini bahagian leher pula ditebuk untuk memudahkannya bernafas.

Ibunya, Fazuana Hoda, 33, berkata, sebelum ini pernafasan anaknya tersekat dan doktor menyarankan agar pembedahan segera dijalankan.

"Jika dibiarkan dikhuatiri oksigen tidak sampai ke otak dan mengundang risiko lain.

“Disebabkan itu, kami akur apabila dinasihatkan doktor agar Dhia perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.

Menurutnya, pembedahan menebuk lubang pada leher anaknya bermula kira-kira jam 8.30 pagi dan memakan masa selama dua jam 30 minit.

“Buat masa ini, Dhia masih tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemerhatian lanjut,” katanya.

Kata Fazuana, dia sekeluarga bersyukur melihat perkembangan positif Dhia yang dilihat sudah mampu bernafas lancar berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, katanya, dia berterima kasih kepada netizen yang berdoa dan memberi kata semangat buat anaknya di laman sosial Facebook.

Melalui page Friends Of BN - Barisan Nasional, perkongsian keadaan Dhia Aisyah pada 8 Mac mendapat 10,000 likes.

Januari lalu, kisah bayi perempuan menderita lapan masalah kesihatan, termasuklah dilahirkan tanpa dubur dan kecacatan kaki dari Kuala Kangkung, di sini, menarik perhatian seluruh masyarakat.

Disebabkan itu, keluarga adik Dhia memerlukan bantuan bagi meringankan bebanan kos keperluan bayi berkenaan kira-kira RM1,000 sebulan.

Sinar Harian 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment