March 22, 2016

Kolam kering lelong ikan

Johari memantau kolamnya yang semakin kering akibat kemarau sekarang.

Alor Gajah: Seorang penternak ikan air tawar dari Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah, bercadang melelong ikan keli, tilapia dan haruan yang diternaknya berikutan khuatir dua kolam miliknya akan kering dalam masa terdekat akibat kemarau.

Johari Ghani, 64, mengambil keputusan melelong ikan air tawar berikutan kemarau sejak sebulan lalu menyebabkan dua kolam miliknya yang masing-masing berkeluasan 12.1x9.1 meter (kira-kira 40x30 kaki) semakin kering.

Katanya, sejak mengusahakan penternakan ikan air tawar empat tahun lalu, kemarau kali ini dianggap paling teruk menyebabkan paras air dalam kedua-dua kolam itu semakin menyusut.

“Kemarau sekarang ini adalah kehendak Allah, tetapi sebelum ikan yang diternak mati, lebih baik saya lelong untuk dapat sedikit hasil.

“Sekiranya hujan dalam masa terdekat, saya membatalkan hasrat melelong ikan ini, namun jika sebaliknya saya akan teruskan perancangan itu minggu ini kerana risau ternakan mati,” katanya.

Penternak itu berkata, dia bercadang melelong ikan keli dan tilapia pada harga RM3 satu kilogram (kg), namun belum menetapkan harga lelongan bagi ikan haruan, tetapi harganya dijamin lebih murah daripada biasa.

Menurutnya, dia tidak terlalu mengejar untung kerana sebelum ini dia menjual ternakan berkenaan pada harga yang berpatutan iaitu RM5 satu kg bagi ikan keli dan tilapia manakala haruan pula RM25 satu kg.

myMetro 21 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment